Berita UtamaDuniaUtama

51 murid nyaris maut pemandu bakar bas

Pemandu warga Itali jerit mahu lakukan pembunuhan beramai-ramai

MILAN, 14 Rejab 1440H, Khamis – Sebuah bas membawa 51 murid sekolah dirampas dan dibakar oleh pemandunya sendiri, semalam dalam protes terhadap dasar migran di Itali.

Press TV melaporkan, kesemua 51 kanak-kanak berjaya melarikan diri sebelum bas dibakar berdekatan bandar Milan.

Polis menamakan pemandu sebagai Ousseynou Sy, berusia 47 tahun, warga Itali berasal daripada Senegal.

“Dia menjerit, ‘saya akan melakukan pembunuhan beramai-ramai’,” kata jurucakap polis, Marco Palmieri.

Salah seorang kanak-kanak memberitahu pemberita bahawa pemandu itu mengancam untuk menuangkan petrol dan membakar mereka.

Salah seorang murid menelefon polis, dan pihak berkuasa bergegas ke tempat kejadian lalu memecahkan tingkap bas bagi memastikan semua mangsa selamat.

Palmieri berkata, beberapa kanak-kanak dibawa ke hospital sebagai rawatan susulan kerana ada yang lebam dan trauma, tetapi tidak ada yang cedera serius.

Pendakwa raya ketika ini menyiasat segala motif termasuk keganasan.

Perkembangan lain, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa kira-kira 2,297 pendatang tenggelam atau hilang di Mediterranean pada tahun 2018 ketika mereka cuba berhijrah ke Eropah.

Seorang pegawai keselamatan Libya berkata, pada hari Selasa, sekurang-kurangnya 10 pendatang mati ketika kapal mereka tenggelam di pantai Libya berhampiran bandar barat Sabratha.

Kerajaan Itali telah menutup pelabuhannya untuk kapal menyelamat yang mengambil migran di pantai Libya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close