Berita UtamaUtama

Macau Scam: Lelaki ditangkap cuba keluar RM25,000 di bank

Pekerja pasar malam menyamar pegawai kanan polis Sarawak tipu mangsa pindahkan lebih RM500,000 kononnya untuk diaudit

KUALA LUMPUR, 13 Rejab 1440H, Rabu – Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes penipuan ‘Macau Scam’ ditahan ketika cuba mengeluarkan wang berjumlah RM25,000 di kaunter sebuah bank di sini, hari ini.

Lelaki berusia 60 tahun dan bekerja di sebuah pasar malam itu ditahan susulan laporan polis oleh seorang pegawai pemasaran yang kerugian lebih RM500,000 selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

“Mangsa dimaklumkan oleh suspek, mempunyai beberapa kes bungkusan membabitkan pos laju dan akaun mangsa terbabit dalam kegiatan jenayah pengubahan wang haram.

“Mangsa berasa takut lalu mengikut arahan suspek untuk memindahkan semua wang simpanannya ke sebuah akaun untuk tujuan audit dan siasatan,” kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Risikin Satiman, dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya berjaya mengesan lelaki terbabit selepas dia mengeluarkan wang dengan jumlah yang besar semalam.

Risikin berkata, polis turut merampas sebuah buku bank dan resit transaksi bank.

Beliau berkata, sejumlah 18 kes penipuan komunikasi atau Macau Scam dilapor di daerah Subang Jaya melibatkan kerugian berjumlah RM802,970 sejak Januari hingga hari ini dan sebanyak 82 kes membabitkan kerugian lebih RM5 juta dilapor tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon mendakwa daripada polis atau syarikat kewangan.

“Sentiasa berwaspada, jangan panik dan tidak mengikut arahan yang diberikan, jangan dedahkan nombor akaun dan segera hubungi pihak polis atau institusi kewangan yang dinyatakan bagi tujuan pengesahan,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close