Berita UtamaUtama

Himpunan solidariti kedamaian tragedi Christchurch Sabtu

Rakyat tanpa mengira ideologi diajak berkumpul di Dataran Merdeka sebagai tanda simpati kepada mangsa kebencian di New Zealand

KUALA LUMPUR, 13 Rejab 1440H, Rabu – Perhimpunan Solidariti Kedamaian Sabtu ini, adalah perhimpunan untuk rakyat Malaysia bersandarkan konsep keamanan dan kedamaian tanpa mengira anutan agama dan ideologi politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mereka yang akan turun menyertai perhimpunan itu agar memakai pakaian berwarna putih, tanpa membawa sebarang logo mana-mana parti politik.

Menggunakan simbol burung merpati putih berlatarbelakangkan bunga raya sebagai simbol kedamaian, perhimpunan itu akan bermula di hadapan pusat beli-belah Sogo pada jam 7 pagi, sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.

Bercakap kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia dalam satu temuramah khas di Parlimen hari ini, Mujahid berkata, beliau sudah memanjangkan jemputan perhimpunan itu kepada barisan menteri Kabinet, termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selain barisan pembangkang.

“Pada suasana dunia hari ini yang menyaksikan peningkatan kebencian sesama manusia sehingga berlakunya banyak insiden keganasan, termasuk yang terkini di New Zealand, sebagai rakyat Malaysia kita bukan sahaja mahu melahirkan rasa simpati, tetapi kita mahu tunjuk lebih dari itu.

“Di Dataran Merdeka nanti, kita akan mendengar ucapan-ucapan yang membawa mesej kedamaian dan akhirnya kita akan membuat satu deklarasi yang membawa suara hati rakyat Malaysia yang menentang sebarang bentuk kebencian dan keganasan, sebaliknya mahukan kehidupan yang aman damai,” katanya.

Mujahid menjangka seramai 5,000 hingga 10,000 rakyat Malaysia akan menyertai perhimpunan aman itu yang turut akan menyaksikan pembabitan anggota-anggota persatuan pelbagai agama.

“Lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyertai perhimpunan itu termasuk persatuan agama seperti Sikh, Taoism, Buddha, Kristian, Hindu dan Islam,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close