Berita UtamaDuniaUtama

Syarikat di New Zealand tarik iklan daripada Facebook, Google

Persatuan pengiklan gesa adegan ngeri tidak disiarkan di media sosial

CHRISTCHURCH, 12 Rejab 1440H, Selasa – Syarikat ternama di New Zealand membuat keputusan untuk menarik semula iklan daripada Facebook dan Google, susulan tragedi serangan pengganas yang meragut 50 nyawa di Christchurch, Jumaat lalu.

Burger King, Lotto NZ, ASB dan Kiwibank antara syarikat yang memboikot daripada mengiklankan produk mereka, atas alasan ‘bahaya’ jika kandungan media sosial tidak dikawal selia.

Mail Online melaporkan, tahap boikot masih belum jelas, namun keputusan itu dibuat selepas pengurus pemasaran syarikat berbincang mengenai kesan kandungan negatif dalam media sosial.

Terdahulu, pengganas kelahiran Australia, Brenton Tarrant menceroboh masjid di Christchurch dan menembak jemaah yang sedang solat Jumaat secara rambang, dan merakam secara langsung di Facebook.

Bagaimanapun, video itu kemudiannya dipadam selepas Facebook dikecam netizen seluruh dunia.

Persatuan Pengiklan New Zealand (ANZA) dan Majlis Komunikasi Komersial dalam satu kenyataan turut menggesa Facebook untuk memastikan adegan yang mengerikan itu tidak lagi disiarkan.

“Beberapa syarikat mula mempersoalkan sama ada mereka mahu dikaitkan dengan platform media sosial yang tidak dapat mengesan atau tidak bertanggungjawab terhadap kandungan di laman tersebut.

“Kami mencabar Facebook dan pemilik platform lain untuk segera mengambil langkah mengawal kandungan negatif sebelum disiarkan secara dalam talian,” kata kenyataan itu. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close