Pemilihan UMNO semua peringkat ditangguh 18 bulan bermula esok
Keputusan selepas terima nasihat Ketua Pengarah KKM, RoS, MKN
KUALA LUMPUR, 18 Zulkaedah 1442H, Selasa – Pemilihan jawatan di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO ditangguhkan selama 18 bulan bermula esok.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan dipersetujui MT UMNO selaras Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 yang memperuntukkan bahawa MT berhak menangguhkan pemilihan di ketiga-tiga peringkat parti tidak lebih 18 bulan dari tarikh pemilihan sepatutnya diadakan.
Beliau berkata, pemilihan berkenaan sepatutnya sudah sampai tempoh untuk diadakan semula memandangkan esok akan genap tiga tahun selepas pemilihan terakhir diadakan.
Namun katanya, keputusan ini diambil selepas menerima nasihat daripada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) melalui surat maklum balas pada 10 Mei lepas, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) (2 Jun) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) (11 Jun).
“Inti pati surat jawapan KKM dan MKN mencadangkan mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara maya. Namun, disebut dalam surat KKM dan MKN juga sekiranya tidak boleh dibuat secara maya, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh dan keadaan COVID-19 adalah terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Maslan berkata, terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan membabitkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO, selain 764 persidangan perwakilan bahagian terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di bahagian, wanita, pemuda dan puteri.
“Semua ini mesti dijalankan serentak dalam tempoh dua hujung minggu. Tentunya sukar persidangan perwakilan bahagian empat peringkat diadakan serentak dalam keadaan wujudnya kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Diperketatkan.
Beliau berkata, UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara maya di semua peringkat disebabkan khuatir berlaku kesilapan teknikal tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar.
Bagaimanapun, Ahmad Maslan berkata, mesyuarat cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO 2021 tanpa pemilihan masih perlu dibuat dengan kehadiran hanya 25 peratus termasuk secara maya bagi memenuhi prosedur tahunan pertubuhan.
“Jika ada pemilihan tentunya tidak boleh syarat 25 peratus kehadiran itu dipakai kerana semua ahli seramai 3.3 juta orang mempunyai hak untuk mengundi,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan cadangan mesyuarat pengurusan yang dibentang dalam mesyuarat MT, tarikh mesyuarat cawangan empat peringkat (tanpa pemilihan) hendaklah diadakan pada 15 Ogos sehingga 30 Sept ini dengan hanya 25 peratus kehadiran.
“Kaedah maya jika kawasan cawangan itu mempunyai liputan internet manakala kawasan luar bandar tanpa internet boleh diadakan secara bersemuka jika dibenarkan prosedur operasi standard.” katanya. -Bernama