Dunia

Tindakan keras Israel sasar kumpulan hak asasi Palestin

Zionis tak mengaku, anggap tuduhan PBB berat sebelah

GENEVA, 21 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Suruhanjaya yang bergabung dengan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) mendakwa negara haram Israel menyasarkan kumpulan hak asasi manusia Palestin untuk mendiamkan masyarakat sivil.

Pihaknya mendakwa, tindakan keras Israel terhadap kumpulan itu melanggar hak asasi manusia, termasuk hak untuk kebebasan berpersatuan, bersuara, pendapat, perhimpunan aman, privasi dan hak kepada perbicaraan yang adil.

Suruhanjaya yang diketuai oleh tiga anggota pasukan pakar hak asasi manusia itu ditubuhkan pada 2021 berikutan perang 11 hari Israel ke atas Gaza.

Zionis menuduh majlis hak asasi manusia dan suruhanjaya itu sebagai berat sebelah dan tidak adil.

Israel juga menuduh Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat yang diduduki melakukan pencabulan hak asasi manusia.

Namun mereka menyatakan bahawa kebanyakan pelanggaran dilakukan oleh Israel sebagai sebahagian daripada kempen untuk memastikan dan mengekalkan pendudukan tetapnya dengan mengorbankan hak rakyat Palestin.

Bekas ketua hak asasi manusia PBB Navi Pillay, yang mengetuai suruhanjaya itu, menuduh pihak berkuasa Israel mengehadkan hak kebebasan bersuara dan pergaulan secara aman.

“Kami amat bimbang dengan situasi pembela hak asasi manusia Palestin, yang secara rutin tertakluk kepada pelbagai langkah hukuman sebagai sebahagian daripada rejim pendudukan,” katanya.

Tiada komen segera daripada pihak berkuasa Israel dan Palestin serta Hamas mengenai laporan itu.

Pada 2020 dan 2021, Israel melabelkan serta mengharamkan tujuh kumpulan hak asasi manusia Palestin yang dianggap sebagai pengganas.

Kemudian, tentera Israel menyerbu ibu pejabat organisasi dan menutup beberapa pejabat mereka.

Israel berkata kumpulan itu dikaitkan dengan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP), yang dikategorikan sebagai pengganas.

Kumpulan hak asasi manusia menafikan sebarang kaitan dengan PFLP manakala beberapa negara Eropah telah menolak dakwaan Israel, dengan alasan kekurangan bukti. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button