Berita UtamaUtama

Pengganas bunuh umat Islam di New Zealand wajar dihukum mati

Ada pihak cuba api-apikan kebencian terhadap umat Islam seluruh dunia

BANGI, 10 Rejab 1440H, Ahad – Pengganas yang membunuh orang awam tanpa mengira usia dalam tragedi di dua masjid di Christchurch, New Zealand kelmarin patut dihukum mati setelah diadili bagi memberi keadilan kepada mangsa dan orang awam.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menegaskan, pengganas yang membunuh tanpa perikemanusiaan itu tidak sewajarnya dibenarkan hidup dalam masyarakat.

Mengulas pembunuhan ketika umat Islam mahu mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood, beliau berkata, realiti yang berlaku adalah, umat Islamlah mangsa yang mengalami kezaliman serta keganasan berterusan di seluruh dunia melalui siri peperangan, pencerobohan dan penjajahan yang tidak berasaskan prinsip keadilan yang betul.

Katanya, apa yang berlaku adalah berpunca daripada agenda pihak tertentu yang mengapi-apikan kebencian secara tidak rasional terhadap Islam, sedangkan Islam sangat menganjurkan perdamaian dan mengecam kezaliman serta keganasan.

“New Zealand sentiasa sebelum ini kami anggap sebagai sebuah negara yang selamat dan tidak ada ancaman yang luar biasa terhadap keselamatan anak-anak kami. Sehinggalah bila berlaku kejadian mengejutkan tembakan yang dilakukan di masjid oleh seorang lelaki berasal dari Australia pada waktu umat Islam mahu menunaikan ibadah solat Jumaat.

“Ia adalah suatu pelakuan ‘terrorisme’ dan jenayah yang terkutuk yang langsung tidak berperikemanusiaan dan kami seperti masyarakat antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Ahmad memuji tindakan Perdana Menteri New Zealand yang mahu menanggung kos pengebumian serta memberi perlindungan keselamatan kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi itu.

“Ia menunjukkan kenyataan oleh seorang Senator dari Australia, Senator Fraser Anning bukanlah mewakili rumpun Australia yang kami yakin masih rasional dan tidak sewenangnya menyalahkan imigran muslim sebagai punca keganasan.

“Selain itu, tindakan seorang pemuda mengetuk telur di kepala senator berkenaan menunjukkan kenyataannya juga tidak diterima di Australia. Bagi menjamin mangsa diberi keadilan sewajarnya, kami menuntut semua pengganas dibawa ke muka pengadilan dan diberi hukuman setimpal,” tegas beliau.

Sebelum ini, Senator Queensland, Fraser Anning yang mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian terhadap Islam dan pendatang susulan tragedi di Christchurch, New Zealand, menerima padahnya setelah ‘dihempuk’ dengan sebiji telur ketika sidang akhbar di Victoria, Melbourne.

Dalam satu video yang tular di Internet sejak semalam, Fraser dilihat sedang bercakap dengan pemberita sebelum seorang remaja lelaki yang memegang telefon bimbit bertindak memecahkan telur di kepalanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close