Berita UtamaIstimewaUtama

Rahmatan lil alamin PH wajah baharu fahaman sosialis liberal

Peranan utama Isma pertahankan Islam, Melayu bukan kerana politik tapi agama, bangsa dan negara

Oleh Athirah Huda Zalhe

PUTRAJAYA, 9 Rejab 1440H, Sabtu – Konsep ‘Rahmatan lil alamin’ yang kononnya diperjuangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat sebagai ‘wajah lain’ kepada fahaman sosialis liberal, berdasarkan konteks ideologi pemerintahan.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, konsep rahmatan lil alamin itu dilihat seperti diolah daripada sebahagian al-Quran dan tidak mencerminkan Islam secara keseluruhan.

Sebaliknya kata beliau, ia ditafsirkan dari sudut yang sesuai dengan prinsip liberal dan meninggalkan banyak ajaran Islam yang lain, termasuklah hak dan batil, halal dan haram serta seumpamanya.

“Bagaimana Islam yang syumul dan mutlak boleh menjadi tempelan kepada ideologi yang berasaskan sosialis liberal demokratik.

“Kemudian mereka menjadikan konsep rahmah lil alamin itu seakan-akan kaedah kulliah iaitu sebagai rujukan tertinggi dalam agama, dengan erti kata lain segala yang bercanggah dengannya adalah mansukh (terbatal) atau muawal (diberi pengertian lain).

“Perbuatan seperti ini sebenarnya menyerupai sikap bani Israel,” katanya dalam Ucapan Dasar Amir sempena Mesyuarat Agung Isma Ke-16 di Hotel Everly, di sini hari ini.

Menganggap konsep itu menjadi kekeliruan dalam kerajaan hari ini, Abdullah Zaik berkata, berteraskan konsep itulah parti komponen Islam menghalalkan tahaluf mereka dengan bukan Islam tanpa syarat dan mengharuskan sikap untuk mengadaptasi pendirian yang selari dengan liberal demokratik, sosialis sekular serta hak asasi manusia melampau yang bercanggah dengan Islam.

Beliau berkata, melalui pendirian itu juga pemimpin Islam dalam PH kelihatan moderat dan diiktiraf oleh parti tamak haloba, DAP, termasuk sekutu mereka dari Barat.

“Di sebalik kecelaruan pemikiran ini, mereka sebenarnya didorong oleh kepentingan politik mereka semata-mata. Kebanyakan YB atau ahli-ahli parlimen Melayu ini menang dengan undi bukan Melayu.

“Oleh sebab itu, demi survival politik, mereka mengorbankan perjuangan Islam sebenar yang sudah tentu tidak akan direstui oleh rakan-rakan bukan Islam dan pengundi-pengundi mereka,” katanya.

Jika dilihat secara menyeluruh, beliau tidak menyangkal bahawa PH yang didominasi PKR dan DAP mendukung ideologi sosialis liberal – fahaman yang dibangunkan oleh Fabian Society, iaitu satu cabang daripada Freemason.

Katanya, beliau tidak memahami bagaimana sebuah kerajaan mengamalkan ideologi bercanggah antara satu sama lain, sedangkan Islam yang mutlak dan sempurna tidak mungkin boleh bersama dengan ideologi sosialis liberal.

“Jika diandaikan ideologi PH sebagai satu mata wang syiling, kalau satu wajah tertulis Islam Rahmatan LilAlamin dan satu wajah lagi Sosialis Liberal, orang tentu akan anggap ia hanya satu mata wang sama.

“Demikianlah Isma telah memainkan peranan utama di barisan hadapan mempertahankan Islam dan Melayu, bukan kerana politik tetapi kerana agama, bangsa dan negara,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close