Berita UtamaIstimewaUtama

Pakatan: Parti Islam tak boleh bertahaluf dengan kafir dominan

Melayu sekarang tidak lagi merdeka dalam memilih cara pemerintahan dan tidak bebas menentukan masa depan sendiri

Oleh Athirah Huda Zalhe

PUTRAJAYA, 9 Rejab 1440H, Sabtu – Mana-mana parti atau gerakan Islam tidak boleh bertahaluf dengan orang kafir dalam keadaan orang bukan Islam lebih dominan dalam pakatan itu, kata Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Beliau berkata, ini kerana tahaluf berkenaan akan membawa orang kafir berkuasa ke atas orang Islam yang jelas bercanggah dengan nas yang nyata.

“Mahu tidak mahu segalanya telah berlaku, fitnah dan kerosakan yang besar.

“Umat Islam dan orang Melayu di negara ini memerlukan keazaman yang tinggi dan gagasan yang besar untuk mengangkat masyruk siasi Islami (agenda politik Islam) dan mempromosi wacana politik berteraskan agama dan kepentingan umat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Amir sempena Mesyuarat Agung Isma Ke-16, yang berlangsung di Hotel Everly, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah membawa perubahan besar kepada landskap politik, kerana hakikatnya ia mengakhiri pemerintahan Melayu dan Islam di negara ini.

“Apa yang berlaku ialah pemerintahan yang didominasi oleh kaum lain atau boleh saya katakan pemerintahan ‘DAP by proxy’. Segala indikator menunjukkan bahawa negara menjurus kepada pemerintahan berasaskan kaum.

“Ada negeri akan diperintah oleh kaum Cina, ada negeri diperintah oleh Melayu (UMNO atau PAS) dan ada negeri diperintah oleh Cina melalui proksi,” katanya.

Atas rasa tanggungjawab, beliau mencadangkan supaya gagasan politik membentuk integrasi nasional melalui pendidikan satu aliran, selain membentuk semula rancangan pembangunan Malaysia berasaskan imbangan ekonomi yang adil.

“Saya juga mencadangkan supaya kita merangka konsep tadbir urus negara ala Malaysia berkonsepkan siyasah Syariyyah mengikut prinsip Maqasid Syariah.

“Mengamalkan pentadbiran berasaskan undang-undang ‘rule of law’, memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perdagangan, teknologi, perundangan dan perpaduan serta menjamin kebebasan beragama dan adat resam bangsa lain berlandaskan Perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, beliau meluahkan rasa terkilan terhadap nasib orang Melayu hari ini, yang disifatkan tidak lagi merdeka dalam memilih cara pemerintahan mereka, dan tidak bebas menentukan masa depan sendiri.

Lebih menyedihkan, beliau berkata, bangsanya itu kini menjadi ‘bangsat’ mengemis secebis kehidupan tanpa menghiraukan lagi identiti, maruah dan masa depan bangsa Melayu.

Beliau berkata, semua itu berpunca daripada kesilapan mengadapatasi fahaman sosialis liberal dalam pemerintahan negara, selain mendukung dasar pro-kapitalis dan menolak Islam dalam pembinaan sistem serta landasan pembangunan peradaban negara.

Bagaimanapun katanya, beliau melihat ancaman keruntuhan Islam dan bangsa Melayu yang berlaku hari ini, bukanlah baru bermula selepas 9 Mei lalu.

Sebaliknya, mengakui ia adalah akibat daripada kecelaruan pendirian dan kesalahan dasar yang berlaku sejak awal kemerdekaan negara lagi.

“Oleh itu, Isma tidak menghadkan pandangan politik dan agenda islahnya dalam lingkungan percaturan politik semasa semata-mata. Perkara sebenar harus diperkatakan tanpa bermuka-muka.

“Kita bercakap tentang bahaya DAP, evangelist, sekularis, liberalis, perang proksi Amerika, China dan sebagainya, tetapi kita sedar bahawa kemusnahan yang berlaku pada hari ini bukan bermula hanya selepas PRU ke-14, tetapi permulaannya lebih awal dari itu, hasil dari perbuatan tangan-tangan pemimpin Melayu sendiri,” katanya.

Dalam Ucapan Dasar beliau sempena Mesyuarat Agung Ke-16 Isma hari ini, Abdullah Zaik berkata, kesan yang kini ditanggung orang Melayu berpunca daripada sikap puak anglophile Melayu kerana bertanggungjawab melanjutkan dasar-dasar penjajah dan membunuh agenda perjuangan bangsa.

Katanya, golongan anglophile ini jugalah yang mengambil kesempatan atas kemiskinan orang Melayu untuk membeli mandat daripada mereka dan menggunakan kepercayaan itu untuk kepentingan peribadi serta keluarga.

“Keadaan hanya akan berubah dan orang Islam akan selamat hanya apabila mereka mengambil langkah komprehensif menebus kedaulatan agama dan bangsa mereka dengan kembali kepada Islam.

” Membangunkan negara berasaskan kepada akidah dan mencari kemajuan mengikut falsafah peradaban sendiri. Untuk tujuan itu semua, kita terlebih dahulu hendaklah menamatkan ancaman pemerintah yang dikuasai bukan Islam yang rasis.

“Kemudian, kita perlu menyatukan orang Islam dan Melayu atas dasar akidah dan seterusnya kembali kepada kerangka peradaban kita yang tersendiri. Langkah ini sahaja yang akan menebus kembali kedaulatan agama dan bangsa di tanah air kita ini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close