ArtikelBerita UtamaUtama

Menebus kedaulatan menjulang peradaban

Ucapan dasar mesyuarat agung Isma Ke-16

Muqaddimah

Saudara Pengerusi Majlis,

1. Yang dialu-alukan kepimpinan ISMA di semua peringkat, sidang perwakilan, para tetamu kehormat, Datuk-datuk, Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian.

2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Segala puji dan puja kepada Allah, Tuhan yang mencipta sekalian alam. Tuhan yang telah mengutuskan para rasul alaihimussalam untuk membawa risalah kepada manusia dan jin. Tuhan yang telah melantik manusia sebagai khalifah-Nya di atas muka bumi ini.

3. ISMA dengan penuh bangga dan rasa izzah memikul tanggungjawab sukar meneruskan tugas besar yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW, nabi yang terakhir membawa risalah Islam, membebaskan manusia dari pengabdian diri kepada Tuhan selain Allah kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT yang esa.

4. Agama fitrah yang memartabatkan akal. Akal yang sihat tidak menyembah batu atau patung, tidak mendua atau mentigakan Tuhan, membersihkan jiwa dari kepercayaan tahyul dan khurafat, memuja syaitan atau sebarang sembahan yang tidak memberi apa-apa manfaat mahupun mudharat.

5. Kita berbangga dengan intima’ kita kepada umat Islam. Umat yang terbaik kerana Islam mendidik mereka tentang kesopanan, kesusilaan, budi pekerti, bersih jiwa dan tubuh badan, menghormati orang lain dan mengetahui batas-batas halal dan haram. Umat Islam berpegang kepada perkara hak yang boleh membezakan antara hak orang lain dengan hak mereka sendiri.

6. Alhamdulillah, kita dilahirkan dalam kalangan bangsa Melayu. Bangsa yang secara semula jadi memiliki peradaban yang tersendiri. Bangsa yang dimuliakan dengan Islam. Islam telah menjadi darah daging bangsa ini, dan telah menjadi identiti peradaban mereka. Hasil sulaman Islam dengan peradaban Melayu, maka lahirlah satu bangsa yang unggul dengan peradaban sendiri yang bernama bangsa Melayu.

7. Sesungguhnya, bangsa Melayu tidak perlu belajar dari bangsa lain tentang kehidupan yang damai, harmoni, kesopanan dan kesusilaan, adab dan budi pekerti kerana mereka sejak dari dahulu adalah bangsa yang memiliki peradaban, hidup dalam situasi aman damai dan serba cukup. Mereka tahu tentang kemajuan dan kemakmuran pada waktu barat masih dalam kegelapan.

8. Marilah kita nyatakan kesyukuran yang tidak terhingga kerana ditakdirkan menjadi orang Islam berbangsa Melayu. Islam telah membawa bangsa Melayu kepada pencipta-Nya. Kita menyaksikan bahawa Rasul itu benar, al-Quran itu benar, dosa pahala itu benar, syurga benar, neraka benar, titian sirat benar, mahsyar itu benar dan kebangkitan semula adalah benar.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,

9. Wacana kita ialah wacana dakwah dan risalah. Bicara kita ialah tentang keimanan, ketakwaan, ketinggian budi dan ketaatan kepada Allah SWT.

10. Kita bukan seperti mubaligh Kristian yang menyeru kepada sekularisme, bukan penganut ajaran humanisme yang menyeru kepada liberalisme (kebebasan dari ikatan agama dan bangsa) dan pluralisme agama, bukan sosialis yang agamanya ialah kebendaan, wiridnya ialah makan minum, seks, tempat tinggal dan kepuasan nafsu semata-mata.

11. Kita menjalankan tanggungjawab syarak dan menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini. Hidup bukan semata-mata untuk memenuhi kehendak diri dan nafsu, tetapi mengangkat seluruh sendi kehidupan ke arah mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

12. Kekuasaan, kekayaan, ilmu dan penghasilan seluruhnya adalah untuk mengangkat martabat manusia dari kegelapan dan kesempitan fahaman sosialis kebendaan kepada keluasan hidup di dunia dan akhirat. Membebaskan manusia dari penyembahan diri kepada elit kapitalis Yahudi dan Kristian, kepada kemuliaan hidup mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT.

13. Demikianlah dakwah kita, (berintipatikan Islam). Kita tidak akan selamanya mendokong ideologiideologi ciptaan manusia, mengangkat “peradaban” yang menjadikan agenda (memenuhi tuntutan hawa nafsu) sebagai alat untuk menjauhkan manusia dari wahyu dan menyesatkan mereka dari Tuhannya.

14. Kita sedar, ramai dari kalangan orang Islam yang kecundang, menyerah kalah kepada wacana berasaskan “akidah sosialis kebendaan” dan menjadi pejuang Liberalisme dan Pluralisme agama. Meloloskan diri dari ikatan agama dan bangsa, hanyut dalam (kebebasan semua perkara tanpa agama), sedikit demi sedikit dan akhirnya menjadi murtad dan ateis.

15. ISMA memilih untuk berpegang teguh dengan peradaban Islam yang berteraskan kepada akidah tauhid, kehidupan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, membangunkan wacana berasaskan nilai, akal budi, akhlak, hukum, halal haram, ma’ruf dan mungkar, amal soleh demi membawa manusia kepada Tuhannya dan mencapai kebahagian sebenar di dunia dan juga akhirat.

16. Politik di sisi ISMA bukan semata-mata soal maddi (materialisme) dan keduniaan, tetapi lebih daripada itu, yang merangkumi usaha meninggikan kalimah Allah, mengangkat maruah dan martabat umat, menegakkan khalifah dan memakmurkan negara.

ISMA Baharu

17. Alhamdulillah, dua tahun telah berlalu. Banyak kemajuan yang telah kita capai sama ada di peringkat dalaman mahupun luaran.

18. Permohonan rombakan perlembagaan telah pun diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Registrar of Societies (ROS) pada 19 Jun 2018.

19. Perhimpunan ahli teras pertama pada 15 September 2018 yang lalu telah membentuk syura yang baharu, dan majlis syura telah melantik Amir (jawatan baharu diwujudkan). Dengan itu, bermulalah struktur baharu bagi ISMA.

20. Hari ini kita akan menyelesaikan baki tanggungjawab perlembagaan dengan menyempurnakan pemilihan jawatan-jawatan utama pertubuhan. Pada hari ini kita akan mendapat ahli jawatankuasa pusat dan presiden yang baharu. Dengan itu, sempurnalah pembentukan kepimpinan baharu ISMA berasaskan perlembagaan yang baharu.

21. Terima kasih kepada yang telah menjalankan tugas. Tahniah dan syabas kepada yang akan dilantik.

22. Alhamdulillah, segala perancangan yang dicadangkan dalam AGM ke-15 (tahun 2017) yang lalu telah kita laksanakan dengan teliti. Banyak perubahan telah berlaku melibatkan keseluruhan sektor-sektor strategik.

23. Walaupun masih ada pelaksanaan yang belum sempurna, bolehlah saya nyatakan pada hari ini, bersempena dengan sambutan AGM ke-16 ini, kini ISMA muncul dengan wajah dan susuk baharu yang lebih BERSEDIA UNTUK MENDEPANI CABARAN MASA HADAPAN.

24. Manakala pada peringkat luaran, ISMA juga telah berada ala mustawa al-ahdath, berada di barisan hadapan menyuarakan suara hati, pandangan dan pendirian orang Melayu dan umat Islam. Mungkin boleh saya katakan bahawa ISMA adalah antara suara yang paling lantang, tegas dan pantas dalam menyuarakan perkara tersebut.

25. Kita telah memberi amaran tentang akibat yang akan menimpa orang Melayu dan umat Islam selepas PRU ke-14. Dan malangnya, ia telah berlaku seperti yang dijangkakan.

26. Namun ISMA tidak berlepas tangan, sebaliknya terus mengambil tanggungjawab untuk memimpin kumpulan pendesak bagi menangani sebarang sikap ekstrem, radikal dan rasis yang bakal berlaku disebabkan oleh penguasaan bukan Islam dalam kerajaan yang baharu ini.

27. Dari awal lagi ISMA telah membuat pendirian bahawa kerajaan baharu akan membawa malapetaka kepada umat Islam. Majoriti umat Islam akan menjadi kaum (terpinggir) dan menjadi mangsa diskriminasi di tanah airnya sendiri.

28. Kita menyatakan pendirian yang tegas bahawa kerajaan baharu yang dikuasai oleh bukan Islam perlu ditamatkan tempoh hayatnya dengan segera. Ini adalah satu keadaan yang tidak diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya.

29. Kita juga telah menyatakan bahayanya rancangan untuk mereformasikan institusi-institusi yang melibatkan lebih 100 undang-undang yang hendak dilakukan oleh kerajaan PH yang akan mengubah wajah negara dari berteraskan Islam dan Melayu kepada Liberal Demokratik yang akhirnya menghilangkan segala hak orang Melayu dan bumiputera yang dijamin perlembagaan.

30. ISMA konsisten mempertahankan kepentingan nasional dan menolak apa sahaja rancangan sama ada dari dalam atau dari luar yang akan mengancam kepentingan nasional. Kita dengan jelas menentang ancaman TPPA dari Amerika Syarikat dan OBOR. Atas dasar itu juga, kita menentang cadangan kerajaan untuk menandatangani ICERD dan enam konvensyen lain bersamanya.

31. ISMA bersama NGO-NGO Islam dan parti-parti politik Melayu telah berjaya menyatukan orang-orang Melayu dan Islam untuk mempertahankan perlembagaan negara, kemerdekaan tanah air serta maruah dan martabat bangsa.

32. Sejarah telah merakamkan pada 8 Disember 2018 yang lalu, satu perhimpunan besar-besaran telah diadakan untuk membantah ICERD. Perhimpunan ini merupakan satu manifestasi kekukuhan perpaduan umat Islam dalam berdepan sebarang ancaman terhadap masa hadapan mereka.

33. Demi menyemarakkan lagi perjuangan mempertahankan kedudukan Islam dalam negara ini, ISMA telah melancarkan kempen Malaysia Negara Islam (MNI) yang telah mendapat sambutan yang hangat dari seluruh umat Islam di Malaysia.

34. Demi mempertahankan keamanan dan kestabilan negara, ISMA menasihatkan kerajaan supaya sentiasa meletakkan kepentingan nasional mengatasi kepentingan satu kaum. Amat menjolok mata, apabila mereka yang sepatutnya menjadi pemimpin kerajaan untuk membela nasib rakyat bertukar menjadi menterimenteri yang rasis dalam sekelip mata.

35. Atas dasar itu, ISMA dengan tegas dan berterusan menentang rancangan kerajaan untuk mengiktiraf UEC dan melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan, kerana keduanya-duanya merupakan agenda rasis yang bertentangan dengan kepentingan perpaduan nasional.

36. Apa yang amat menyedihkan kita ialah, pemimpinpemimpin Islam dan Melayu dalam kerajaan tidak berguna sedikit pun untuk membela Islam dan Melayu.

37. Ketika pemimpin-pemimpin parti komponen lain dalam PH telah bertukar menjadi lembaga yang ekstrem, rasis, radikal dan bersuara lantang untuk kepentingan kaum masing-masing, menteri-menteri Melayu masih terpinga-pinga kebingungan. Yang lebih menghinakan ialah mereka terpaksa melutut kepada Menteri DAP demi meraih belas ihsan untuk menagih bajet.

38. Lebih menakjubkan lagi, belum cukup sepuluh bulan PH memerintah, mereka sudah lupa segala perjuangan mereka dahulu, tentang keadilan, kebebasan dan hak asasi. Bukan itu sahaja, bahkan mereka gagal melaksanakan semua janji-janji yang mereka berikan. Ini tidak termasuk lagi isu pemalsuan kelulusan akademik dan sebagainya (kelihatan segalanya palsu).

39. Keadaan semakin hari semakin teruk apabila Perdana Menteri kelihatan tidak lagi mampu mengawal kerajaan dan Menteri Kewangan DAP menjadi begitu berkuasa dalam memutuskan segala perkara.


Pendirian Terhadap Islam Rahmatan Lil Alamin

40. Saya terpaksa menyentuh konsep “Rahmatan LilAlamin” yang dibawa oleh sesetengah pihak, kerana konsep ini telah menjadi kekeliruan di dalam kerajaan.

Bagaimana Islam yang syumul dan mutlak boleh menjadi tempelan kepada ideologi yang berasaskan “Sosialis Liberal Demokratik”.

41. Kalau dikaji, kita akan dapati konsep “Islam Rahmatan Lil-Alamin” ini adalah diolah dari sebahagian dari alkitab (al-Quran) dan tidak mencerminkan keseluruhan Islam. Ia ditafsirkan dari sudut yang sesuai dengan prinsip-prinsip liberal dan meninggalkan banyak ajaran Islam yang lain yang berkaitan dengan wala wa bara’, hak dan batil, amar ma’ruf nahi mungkar, halal dan haram dan seumpamanya.

42. Kemudian mereka menjadikan konsep rahmah lilalamin itu seakan-akan kaedah kulliah iaitu sebagai rujukan tertinggi dalam agama, dengan erti kata lain segala yang bercanggah dengannya adalah mansukh (terbatal) atau muawal (diberi pengertian lain). Perbuatan seperti ini sebenarnya menyerupai sikap bani Israel.

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuhbunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantumembantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. (Al-Baqarah 2:85)

43. Kaedah ini menghalalkan tahaluf mereka dengan bukan Islam tanpa syarat dan mengharuskan sikap mereka untuk mengadaptasi pendirian-pendirian yang selari dengan Liberal Demokratik, Sosialis Sekular dan hak asasi manusia melampau yang bercanggah dengan Islam. Dengan itu, mereka kelihatan moderate dan diiktiraf oleh DAP dan sekutu mereka dari barat.

44. Di sebalik kecelaruan pemikiran ini, mereka sebenarnya didorong oleh kepentingan politik mereka semata-mata. Kebanyakan YB atau ahli-ahli parlimen Melayu ini menang dengan undi bukan Melayu. Oleh sebab itu, demi survival politik, mereka mengorbankan perjuangan Islam sebenar yang sudah tentu tidak akan direstui oleh rakan-rakan bukan Islam dan pengundipengundi mereka.

45. Kalau dilihat secara menyeluruh, tidak dapat disangkal lagi bahawa PH yang didominasi oleh PKR dan DAP mendokong ideologi Sosialis Liberal. Sosialis Liberal adalah ideologi yang dibangunkan oleh Fabian Society, yang merupakan satu cabang dari Freemason. Dalam konteks ideologi pemerintahan, Islam Rahmatan LilAlamin boleh dilihat sebagai wajah lain kepada fahaman Sosialis Liberal.

46. Sukar difahami bagaimana sesebuah kerajaan mengamalkan ideologi yang bercanggah antara satu sama lain. Islam yang syumul dan mutlak tidak mungkin tumbuh atas pohon Sosialis Liberal tanpa diedit. Jika diandaikan ideologi PH sebagai satu mata wang syiling, kalau satu wajah tertulis Islam Rahmatan LilAlamin dan satu wajah lagi Sosialis Liberal, orang tentu akan anggap ia hanya satu mata wang sama.

47. Demikianlah ISMA telah memainkan peranan utama di barisan hadapan mempertahankan Islam dan Melayu, bukan kerana politik tetapi kerana agama, bangsa dan negara. Kita berikrar akan terus berada di barisan utama di pentas perjuangan mengembalikan kedaulatan agama dan bangsa Melayu di negara tercinta ini.

Menebus Kedaulatan

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

48. Mahu tidak mahu kita mesti mencari jalan keluar yang tuntas kepada permasalahan yang dihadapi umat Islam pada hari ini. Kita perlu bersikap jujur dan berkata benar agar penyelesaian yang akan dikemukakan tepat dan menyeluruh.

49. ISMA melihat ancaman keruntuhan Islam dan bangsa Melayu serta umat Islam yang berlaku pada hari ini bukanlah baru bermula pada 9 Mei 2018. Sebaliknya, ia merupakan akibat dari kecelaruan pendirian dan kesalahan dasar semenjak dari awal kemerdekaan lagi.

50. Oleh itu, ISMA tidak menghadkan pandangan politik dan agenda islahnya dalam lingkungan percaturan politik semasa semata-mata. Perkara sebenar harus diperkatakan tanpa bermuka-muka.

51. Kita bercakap tentang bahaya DAP, evangelist, sekularis, liberalis, perang proksi Amerika, China dan sebagainya, tetapi kita sedar bahawa kemusnahan yang berlaku pada hari ini bukan bermula hanya selepas PRU ke-14, tetapi permulaannya lebih awal dari itu, hasil dari perbuatan tangan-tangan pemimpin Melayu sendiri.

52. Puak-puak Anglophile Melayu yang bertanggungjawab melanjutkan dasar-dasar penjajah, membunuh agenda perjuangan Melayu yang sebenar dengan menggunakan kaedah “trasformismo” (merangkul dan mencantas), mengambil kesempatan atas kemiskinan orang-orang Melayu untuk membeli mandat dari mereka dan menggunakan kepercayaan orang Melayu (menggunakan isu agama dan bangsa) untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga.

53. Kita bukanlah bermaksud sebarang rancangan yang dilakukan selama ini tidak berfaedah belaka, namun kita tidak dapat ingkari bahawa orang Melayu kini hampir akan hilang pegangan mereka ke atas tanah air mereka sendiri.

54. Peradaban Melayu musnah sama sekali. Orang Melayu tidak lagi merdeka dalam memilih cara pemerintahan mereka dan tidak lagi bebas menentukan masa depan mereka sendiri. Kini orang Melayu menjadi bangsat mengemis secebis kehidupan tanpa menghiraukan lagi tentang identiti, maruah dan masa depan bangsa.

55. Semua ini berpunca dari kesilapan mengadapatasi fahaman Sosialis Liberal dalam pemerintahan negara, mendokong dasar-dasar pro-kapitalis dan menolak Islam dalam pembinaan sistem dan landasan pembangunan peradaban negara.

56. Kita mencari erti kemajuan dan pemodenan dalam kata akar PEMBARATAN. Hasilnya fahaman Sosialis Liberal ini sedikit demi sedikit berakar umbi menjadi teras pembangunan negara, yang akhirnya tanpa disedari mengakibatkan penghapusan kedaulatan agama dan bangsa dalam pemerintahan dan kehidupan rakyat.

57. Kita percaya bahawa dengan mengikut cara barat kita akan maju, bila kita kaya kita akan selamat dan jadi kuat.

58. Penjajah telah mendidik elitis Melayu dengan fahaman Sosialis Liberal dan memperdayakan mereka bahawa kalau hendak hidup maju seperti barat, mereka mesti ikut cara yang diajar oleh penjajah kepada mereka. Mereka ini akhirnya menjadi Anglophile Melayu yang kemudiannya dilantik sebagai pemimpin negara dan telah memainkan peranan bagi pihak penjajah membunuh segala daya usaha yang boleh membangkitkan semula peradaban Islam dan Melayu.

59. Natijahnya ialah apa yang kita saksikan hari ini. Dasardasar pembaratan ini bukan sahaja tidak menjadikan orang Melayu kaya, tetapi kini hilang kuasa politik setelah kalah dalam persaingan ekonomi yang tidak adil sama sekali. Dasar-dasar Sosialis Liberal dan pembaratan hanya menguntungkan bukan Islam dan memperkukuhkan kedudukan mereka ke atas negara ini.

60. Kita tidak mungkin mengubah keadaan ini dengan hanya percaturan politik semata-mata. Selicik mana sekali pun kita berpolitik, kita tidak akan dapat mengubah keadaan dari menjadi lebih buruk.

61. Keadaan hanya akan berubah dan orang Islam akan selamat hanya apabila mereka mengambil langkah komprehensif menebus kedaulatan agama dan bangsa mereka dengan kembali kepada Islam. Membangunkan negara berasaskan kepada akidah dan mencari kemajuan mengikut falsafah peradaban sendiri.

62. Untuk tujuan itu semua, kita terlebih dahulu hendaklah menamatkan ancaman pemerintah yang dikuasai bukan Islam yang rasis. Kemudian, kita perlu menyatukan orang Islam dan Melayu atas dasar akidah dan seterusnya kembali kepada kerangka peradaban kita yang tersendiri. Langkah ini sahaja yang akan menebus kembali kedaulatan agama dan bangsa di tanah air kita ini.

Mengangkat Wacana Peradaban Islam

63. Langkah awal yang perlu diperbetulkan oleh kita ialah memerdekakan minda masyarakat Islam dari kongkongan “wacana” yang didominasi oleh Sosialis Liberal kepada wacana peradaban Islam. Bicara tentang kemajuan dan pembangunan negara yang berteraskan akhlak, mengangkat martabat insan dan menyediakan ruang kebebasan yang sebenar untuk mereka memilih jalan kembali menuju kepada Tuhan mereka.

64. Kalau kita kekal berbicara dalam kerangka Sosialis Liberal dalam membincangkan masalah kita, ia tidak akan dapat mengubah apa-apa. Kita hanya akan berbincang soal kemiskinan, kekayaan, kek ekonomi dan seumpamanya sahaja, tetapi kita abaikan agama dan kedudukan kita dalam negara ini.

65. Dengan hilang kedaulatan agama dan bangsa atas tanah air kita, penguasaan kita terhadap ekonomi tidak akan dapat mengembalikan kemuliaan kita.

66. Maka oleh sebab itu, demi menebus semula kemuliaan, kedaulatan agama dan bangsa, kita perlu mengarus perdanakan wacana peradaban Islam yang sebenar, biar bicara politik kita diwarnai nilai peradaban kita sendiri. Peradaban yang berteraskan akidah, akhlak, nilai dan hukum-hakam.

Dari Siasah Ada Yang Dinaskan

67. Oleh sebab pengaruh fahaman Liberal Sekular yang kuat, ia telah mempengaruhi pemikiran orang kita hatta dalam soal beragama. Mereka memahami politik mengikut kaca mata liberal semata-mata. Dengan itu, semua yang kita lakukan atas nama politik adalah harus belaka, tidak ada kaitan langsung dengan hukum agama, halal dan haram.

68. Tanggapan ini adalah menyeleweng dari neraca hidup seorang muslim sama sekali. Sayugia difahami bahawa dalam politik itu ada perkara yang di‘nas’kan. Mengangkat orang kafir untuk menjadi pemerintah ke atas orang Islam bukan termasuk dalam perkara yang harus mutlak mengikut neraca demokrasi sematamata.

69. Lantaran tanggapan kita bahawa politik hanya berkaitan tentang pentadbiran, soal ekonomi dan masalah kehidupan harian semata-mata mengikut neraca Sosialis Sekular, kita mungkin beranggapan tiada salahnya melantik orang kafir kalau orang kafir itu boleh mentadbir urus dengan lebih baik dari orang Islam. Kita kata “pilih pemerintah bukan pilih agama”.

70. Namun politik dalam Islam adalah berkaitan dengan tanggungjawab risalah kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, menegakkan keadilan Ilahi, kehidupan berasaskan akhlak, menjaga maslahah manusia sejagat dan menyahut aturan yang ditentukan oleh Tuhan. Seperti yang disebut dalam kitab siasah syariyyah, politik Islam ialah berkaitan “Iqamatuddin wa Siasatu Addunya Bihi”, maksudnya menegakkan agama dan menguruskan kehidupan berlandaskan agama. Maka dapat difahami dari itu bahawa kepimpinan adalah dari urusan agama.

71. Bahkan ternyata dari pengalaman sembilan bulan diberi tanggungjawab pemerintahan negara, mereka tidak dapat menjalankan urusan pentadbiran dengan baik dan jujur sebagai seorang pemimpin negara. Sebaliknya, mereka bertindak rasis dan meminggirkan orang Islam kerana agama dan bangsa mereka.

Bagaimanakah orang yang tolak kebenaran Tuhan, tidak mengetahui halal haram, tidak belajar tentang moral lebih dipercayai untuk menguruskan hal ehwal manusia, apa lagi orang Islam?

72. Allah telah menyatakan dalam nas, tidak harus melantik orang kafir sebagai pemerintah ke atas orangorang yang beriman.

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. (A-li’Imraan 3:28)

Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. (Al-Anfaal 8:73)

73. Ada juga yang cuba mengelirukan umat Islam dalam hal ini dengan berhujah menggunakan hujah-hujah dakwah. Mereka menyebutnya sebagai ‘engagement’ untuk tujuan dakwah. Mereka dengan sengaja menipu orang Islam untuk tujuan politik mereka yang sempit.

74. Bergaul dan mendekati orang kafir dengan tujuan dakwah atau apa-apa urusan hidup berbeza dengan mengangkat mereka menjadi pemimpin. Oleh sebab itu, mana-mana parti atau gerakan Islam tidak boleh bertahaluf dengan orang kafir dalam keadaan orang kafir lebih dominan dalam pakatan tersebut, kerana tahaluf tersebut akan membawa kepada orang kafir berkuasa atas orang Islam yang bercanggah dengan nas yang nyata.

75. Mahu tidak mahu segalanya telah berlaku, fitnah dan kerosakan yang besar. Umat Islam dan orang Melayu di negara ini memerlukan keazaman yang tinggi dan gagasan yang besar untuk mengangkat masyruk siasi Islami (agenda politik Islam) dan mempromosi wacana politik berteraskan agama dan kepentingan umat.

76. Sangat banyak kecelaruan istilah yang berlegar dalam masyarakat yang telah merosakkan pandangan umum. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan bagi ISMA untuk menonjolkan kepimpinan politik dan menyambut suara kebenaran ke arus perdana wacana politik tanah air.

Gagasan Politik ISMA

77. PRU ke-14 telah membawa perubahan besar kepada landskap politik Malaysia. Secara hakikatnya, telah berakhirnya pemerintahan Melayu-Islam di negara ini. Apa yang berlaku ialah pemerintahan yang didominasi oleh kaum lain atau boleh saya katakan pemerintahan ‘DAP by proxy’.

78. Segala indikator menunjukkan bahawa negara menjurus kepada pemerintahan berasaskan kaum. Ada negeri akan diperintah oleh kaum Cina, ada negeri diperintah oleh Melayu (UMNO atau PAS) dan ada negeri diperintah oleh Cina melalui proksi.

79. Tidak kelihatan di sana mana-mana pihak yang membawa penyelesaian yang dapat mengatasi masalah polarisasi politik berdasarkan perkauman ini dari menjadi lebih teruk dan memecah-belahkan negara.

80. Di atas rasa tanggungjawab demi memelihara negara agar terus aman, maju dan makmur, saya mencadangkan gagasan politik seperti berikut.

I. Membentuk semula integrasi nasional melalui pendidikan satu aliran.

II. Membentuk semula rancangan pembangunan Malaysia berasaskan imbangan ekonomi yang adil. III. Merangka konsep tadbir urus negara ala Malaysia berkonsepkan siasah syariyyah mengikut prinsipprinsip maqasid syariah. IV. Mengamalkan pentadbiran berasaskan undangundang “rule of law”. V. Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perdagangan, teknologi, perundangan dan perpaduan. VI. Menjamin kebebasan mengamalkan agama dan adat resam bangsa lain (seluruh warganegara Malaysia) berlandaskan perlembagaan. VII. Menamatkan situasi kerajaan dalam kerajaan.

ISMA dan Isu Antarabangsa

81. Kepedulian ISMA dalam isu antarabangsa melalui pelbagai agensi dan penglibatan aktiviti sudah tidak asing lagi. Dari isu kemanusiaan hinggalah kepada pembangunan dan pemikiran.

82. Sebagai satu unit dari keluarga besar komuniti umat Islam antarabangsa, ISMA merasai kesukaran dan penderitaan yang dialami oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Pembunuhan, penderitaan, kemiskinan dan penyakit yang tidak berkesudahan. Kita sedar setiap komuniti saling mengesani antara satu dengan yang lain seperti disebut oleh Rasulullah SAW:

“Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” [HR. Muslim]

83. Dari sudut strategi, ISMA beranggapan terdapat perkaitan yang erat antara perjuangan kedaulatan bangsa, negara dan agama Islam dengan pembebasan Palestin. Tidak mungkin tertegak projek Islam di Malaysia atau di mana-mana negara Islam selagi Palestin tidak dibebaskan. Oleh itu, perjuangan membebaskan Palestin adalah langkah strategi yang perlu dijayakan demi untuk memerdekakan Malaysia, dengan erti kata sebenar dalam menegakkan peradaban Islam di dalamnya.

84. Kita merakamkan kebimbangan yang amat sangat atas perkembangan terkini yang sedang berlaku di Timur Tengah, di mana Amerika Syarikat melalui kuasa proksi bersama-sama dengan Israel sedang bersiap sedia untuk satu projek yang dinamakan (Perjanjian Abad ini atau Deal of the Century). Pemerintah-pemerintah Arab dan Teluk sedang secara rasmi menjalankan (normalisasi) dengan Israel. Kita bimbang kemungkinan akan nasib rantau Arab bakal terbakar dalam satu perang proksi yang besar.

85. Kedudukan kita di rantau ini juga terkesan dan bakal merasai bahang perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat kerana Laut China Selatan adalah salah satu pentas pertembungan tersebut. Saya menyokong pendirian Perdana Menteri yang melepaskan Malaysia dari berada di bawah mana-mana pihak, dan tidak membenarkan tentera asing dari berada di perairan ini.

Peradaban Baru

86. Dari awal saya memperkatakan tentang peradaban Islam. Ia menggambarkan kepentingan topik tersebut dalam ucapan ini.

87. Tiada siapa dapat menafikan bahawa umat Islam termasuk gerakan Islam hari ini sedang terperangkap dalam pengaruh tamadun barat yang ateis. Segala sistem, dasar dan perancangan adalah bersumber dari pokok pangkal ideologi yang liberal dan sekular. Tiada yang selamat kecuali mereka yang dirahmati Tuhan sahaja.

88. Semakin canggih sistem, semakin berkembang maju kehidupan, semakin jauh kita dari Allah SWT dan semakin porak-peranda masa depan kita. Apa-apa agenda perjuangan untuk agama dan bangsa akan kalah di tepi gelanggang.

89. Menyedari hakikat ini, kita memahami bahawa projek Islam dalam apa jua medan tidak mungkin akan dapat mencapai tujuan yang diharapkan kecuali apabila ia berjaya melepaskan diri dari belenggu “peradaban” barat yang sekular dan ateis.

90. Hakikatnya kita berada dalam era pertembungan peradaban yang sengit dan dahsyat. Dua kerja besar yang perlu dilakukan oleh kita ialah; Pertama, menghalau “peradaban” barat yang ateis keluar dari negara ini dan kedua, membangunkan negara berasaskan peradaban sendiri.

91. Justeru itu, tugas menyempurnakan binaan peradaban Islam mengikut kerangka falsafah yang tersendiri menjadi perkara pokok dalam perjalanan gerakan Islam pada masa akan datang. Di atas binaan ini, berdirinya projek-projek Islam dalam pelbagai bidang. Tanpa binaan peradaban yang tersendiri, projek Islam keseluruhannya akan terus berada dalam keadaan taba’iyyah (ikutan). Perubahan yang sebenar tidak akan berlaku dan ia terdedah kepada penyelewengan dan peralihan hala tuju.

92. Peradaban terbina menerusi pandangan yang jelas terhadap kejadian, manusia, kehidupan dan alam. Allah SWT dengan jelas menyebut di dalam al-Quran;

Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahanbahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya“. (Hud 11:61) Dalam ayat yang lain, Allah menyebut;

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya“.  (Al-Baqarah 2:30)

Dua ayat ini menjelaskan garis pemisah antara peradaban Islam dan peradaban barat. Peradaban Islam yang mengiktiraf rububiyyah Allah swt dan peradaban barat yang mengkufurinya.

93. Di dalam al-Quran Allah SWT membawa perbandingan di antara Firaun, Namrud dan lain-lain dengan Nabi Sulaiman AS yang semua mereka adalah pelopor peradaban di tempat dan pada zaman masing-masing. Firaun, Qarun dan Namrud akhirnya mengaku menjadi Tuhan, manakala Nabi Sulaiman AS pula mengatakan bahawa ini adalah dari kelebihan Tuhanku.

94. Oleh sebab itu, peradaban Islam hendaklah berdiri di atas struktur falsafahnya yang tersendiri dan di atas struktur tersebut berdirinya binaan hadhari yang berkembang di dalam seluruh lapangan kehidupan.

95. Di atas landasan itu, terbentuknya sistem hidup Islam yang murni dalam segenap bidang, politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan begitulah seterusnya. Dalam kerangka peradaban ini, akan terserlah keunggulan kreativiti manusia dari segi ilmu, penciptaan (rekaan), kebudayaan, kesenian, pembinaan dan sebagainya.

96. Tentu sekali struktur falsafah peradaban ini mempunyai ciri-cirinya, istilah-istilahnya, kaedah perlaksanaan, ruang lingkup dan keunikan yang tersendiri.

97. Memandangkan peri pentingnya usaha pembangunan binaan peradaban Islam di atas kerangka falsafahnya yang tersendiri, maka ISMA tanpa ragu akan menjadikan tanggungjawab strateginya pada masa depan untuk memperkasakan usaha binaan tersebut.

98. Zaman assohwah (kesedaran) telah berlalu, kita memasuki zaman pasca kebangkitan dan pembinaan. Fasa ini memerlukan penerokaan baharu dalam bidang pemikiran. Idea-idea awal gerakan Islam telah dirumus untuk berhadapan dengan era revolusi industri di Eropah atau barat. Ia telah memainkan peranannya secara berkesan dan telah melahirkan arus kebangkitan Islam yang meluas di seluruh dunia Islam dan juga Eropah.

99. Kebangkitan ini memerlukan pengisian yang bersifat konstruktif. Bagi meneruskan kesinambungan amal Islami untuk fasa akan datang, pembangunan binaan peradaban berasaskan kerangka falsafahnya yang tersendiri, adalah sangat penting kerana segala projek Islami hanya akan terbangun di atas kerangka tersebut.

100. Pengalaman Arab Spring telah mendedahkan keterbatasan gerakan Islam dari sudut pembangunan pemikiran. Kita akhirnya sampai kepada kesimpulan Islam sebagai sistem yang syumul dan lengkap bagi menangani fahaman sekularisme yang datang dari barat pada waktu itu. Tetapi ia sudah tidak memadai.

101. Belajar dari pengalaman ini, ISMA menyedari akan peri pentingnya meneruskan usaha menyempurnakan “Entiti Peradaban Islam” berasaskan struktur falsafahnya yang tersendiri dalam meneruskan perjuangan menegakkan agama Allah dan sistem hidup Islam di atas muka bumi ini.

102. Buat kesekian kalinya, saya pertegaskan lagi bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan mutlak, ia tidak mungkin berdiri atas ideologi yang bertentangan. Dari dahulu lagi telah disebut bahawa pohon epal tidak akan membuahkan anggur. Begitulah juga ideologi jahiliyyah tidak akan melahirkan sistem hidup Islam.

Perbaharui Semangat Tajdid

103. Akibat dari ketidakjelasan tentang hakikat pertembungan peradaban di antara Islam dan barat, ada pihak dalam kalangan Islamis menjadi keliru. Ada yang masuk dalam perangkap, kagum dengan peradaban barat. Dalam kalangan mereka ramai yang tewas, menganggap bahawa tiada model negara dalam Islam yang menyebabkan suara Islam mula mengadaptasi format dari barat. Ada yang memilih menentang tetapi berputar-putar di tempat yang sama (kerana pertembungan tidak membawa keputusan untuk mereka).

104. Barat telah mencipta istilah moderate untuk merekrut mangsa. Mereka memberi persepsi bahawa Islam (yang berasal dari Quran dan as-sunnah) adalah kemunduran, rasis, bigot dan sebagainya. Islam yang moden dan maju ialah Islam yang sejajar dengan displin liberal. Ramai dalam kalangan kita yang ingin dilihat moderate oleh barat berangkat masuk dalam perangkap tersebut.

105. Sebaliknya pula berlaku kepada mereka yang memilih sekadar menentang dan bertarung di pentas mereka. Parti-parti politik Islam yang terlibat dengan demokrasi telah menghabiskan usia yang panjang, harta yang banyak, bahkan mengorbankan para syuhada’, tetapi masih gagal melahirkan sebuah negara Islam yang dicita-citakan.

106. Ini berpunca daripada kelemahan gerakan Islam sendiri dalam memahami aspek akidah atau ideologi dalam pertembungan. Mereka tidak nampak bahawa sistem hidup berasaskan peradaban barat ini berdiri di atas struktur falsafahnya yang tersendiri yang anti Islam. Lalu mereka cuba membangunkan agenda perubahan Islam dengan membuat pengisian melalui platform dalam sistem peradaban barat atau memainkan peranan anti-tesis dalam sistem yang sama.

107. Begitu juga dari sudut ekonomi, pendidikan, perundangan dan sebagainya. Semuanya berakhir dengan projek tempelan kepada sistem jahiliyyah sedia ada semata-mata, atau akhirnya mereka mengalah dan mengadaptasi sistem barat tersebut.

108. Hakikat ini menjelaskan kepada kita akan kepentingan menghidupkan rancangan untuk membangunankan rujukan sistem pemikiran yang tersendiri semula berasaskan falsafah peradaban Islam yang lengkap dan menyeluruh. Umat Islam barangkali memerlukan tajdid sekali lagi seperti yang disebut di dalam hadith Nabi SAW;

“Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan untuk umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan)”. [HR. Abu Daud]

109. Sebagai sebahagian dari langkah ke arah itu, ISMA akan menumpukan kepada melahirkan generasi baharu ulama mujadid, yang akan menulis semula ilmu Islam berasaskan marjaiyah fikriah yang muktamad mengikut acuan falsafah peradaban Islam yang berteraskan kepada akidah tauhid. Bahan-bahan rujukan Islam bukan sahaja mengandungi hukumhukum amali, tetapi juga merupakan petunjuk dalam binaan thaqafah hadhariah (kemajuan dan kebudayaan).

110. Ekoran daripada itu, projek tajdid juga akan difokuskan kepada membangunkan manhaj keilmuan bersepadu dan berintergrasi antara agama dan sains atau antara wahyu dengan ilmu insani dalam semua cabang kehidupan seperti politik, ekonomi, pendidikan, media dan lain-lain berasaskan kepada falsafah peradaban Islam.

111. Dari sini, akan keluar manhaj (metodologi) islah, lakaran kasar roadmap, pilar-pilar utama, teori-teori, prinsip-prinsip, mekanisme, uslub bertaamul dengan realiti dan mengenalpasti jarak antara realiti dan idea, serta langkah-langkah perlu untuk menutup jurang pada setiap bidang tersebut.

Langkah-langkah Ke Hadapan

112. ISMA mengambil pendirian berasaskan prinsip menolak pemerintahan yang didominasi oleh bukan Islam atau pemerintahan bukan Islam sama ada secara langsung ataupun melalui proksi. Pendirian ini adalah kerana ia bertentangan secara jelas dengan hukum Islam dan nas al-Quran.

(Mereka yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah, berkatalah mereka: “Bukankah kami turut berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)”. Dan jika orangorang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orangorang kafir itu): “Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?” Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman. (An-Nisaa’ 4:141)

Oleh sebab itu, tanpa berselindung ISMA akan berusaha memberi penerangan dan melakukan segala daya upaya sehingga pemerintahan kembali ke tangan umat Islam.

113. Sejajar dengan itu juga, ISMA mengambil pendirian tegas dan konkrit menentang agenda pembaratan sama ada dibawa oleh puak Anglophile Melayu generasi awal atau pun oleh golongan Reformis Liberal hari ini.

114. ISMA sedar bahawa penjajah telah meninggalkan proksi-proksi yang akan menjaga kepentingan mereka di negara ini. Proksi yang akan memaksakan dasardasar dan ideologi bagi mengekalkan negara ini terus terjajah.

115. ISMA menyedari dasar-dasar China Komunis yang menyokong diaspora dan membawa hegemoni mereka di rantau ini. Atas dasar itu, ISMA menolak sebarang usaha atas nama apa sekali pun yang akan mengukuhkan perluasan pengaruh China Komunis di rantau ini, khususnya di negara ini.

116. Bagi menyambung perancangan dan langkah-langkah terdahulu serta memperkukuhkan kedudukan, pengaruh, maka kita akan memperkukuhkan strategi bagi menyampaikan mesej ke seluruh pelusuk masyarakat, semua golongan, segenap kelompok, kepala ke kepala, sehingga terbentuk sokongan massa yang kuat dan menyeluruh.

117. Untuk tujuan itu, kita akan memasyarakatkan struktur ISMA supaya dapat menangani kehendak setiap kelompok masyarakat, golongan, jantina, generasi dan sebagainya.

118. Perancangan dakwah ISMA pada masa akan datang akan mengambil pendekatan bottom-up, lebih banyak daripada top-down. Justeru itu, cawangan-cawangan ISMA perlu melakukan kajian domestik masing-masing dan merancang aktiviti berdasarkan kumpulan sasar di lokaliti masing-masing.

119. Kini, kebenaran idea ISMA mula diterima dan diakui oleh pelbagai pihak. Bagi menyambung dan menyempurnakan langkah-langkah yang terdahulu, ISMA akan melipatgandakan usaha dan penglibatan ke arah memperkukuhkan kesatuan ummah.

120. Agenda ini penting bagi mengembalikan kedudukan dan kekuatan umat Islam sama ada dari segi ekonomi, politik dan juga pendidikan. Umat Islam sedang diuji dengan pelbagai bentuk provokasi bukan sahaja melibatkan emosi tetapi juga fizikal. Moga-moga dengan kesatuan yang utuh kita dapat mempertahankan maruah dan kemuliaan diri kita.

121. Akhir sekali, bagi menjaga langkah-langkah ini, amat penting bagi seluruh kepimpinan pusat dan cawangan secara proaktif dan konsisten meningkatkan keupayaan dari aspek kepimpinan dan pengurusan, melaksanakan amalan pengurusan terbaik demi penghasilan yang maksima.

Jazakumullah khairan kathira kepada semua hadirin.

Ustaz Haji Abdullah Zaik Abd Rahman
Amir Isma

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close