Dunia

1,800 pelarian Rohingya dihantar ke pulau terpencil

Tindakan Bangladesh mendapat kecaman aktivis hak asasi

BHASHAN CHAR, 15 Jamadilawal 1442H, Rabu – Kerajaan Bangladesh menghantar kira-kira 1,800 pelarian Rohingya – yang tinggal di kem pelarian negara itu – ke sebuah pulau terpencil, Bhasan Char di Teluk Bengal kira-kira tiga jam dari tanah besar.

Sebelum ini Bangladesh sudah menghantar 1,600 etnik Rohingya ke pulau berkenaan – atas alasan mereka mahu berpindah secara sukarela.

Namun, tindakan kerajaan dikecam aktivis hak asasi apabila mendakwa, beberapa kediaman Rohingya di kem pelarian berhampiran sempadan Myanmar dikunci, menyebabkan mereka tiada pilihan lain.

Pelarian Rohingya dilaporkan membawa beg masing-masing, permainan dan ayam ternakan selain bergambar ketika dalam perjalanan dari Chittagong ke Bhashan Char.

Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen menyifatkan kediaman baharu mereka sebagai ‘tempat peranginan yang cantik’.

“Mereka sangat teruja untuk pergi ke Bhashan Char kerana dimaklumkan ia tempat yang baik oleh saudara mereka yang sudah berada di sana,” katanya.

Pihaknya sekali lagi menegaskan, hanya memindahkan mereka yang rela untuk berpindah dan langkah itu akan mengurangkan kesesakan kronik di kem yang menjadi tempat tinggal lebih daripada satu juta Rohingya.

Bagaimanapun para pelarian dan pekerja kemanusiaan berkata, sebahagian orang Rohingya telah dipaksa ke pulau itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button