Berita UtamaUtama

30 individu di Pulau Pinang dakwa ditipu skim kopi RM50 juta

19 individu turut buat aduan polis di Pahang babit syarikat sama

BUKIT MERTAJAM, 9 Rejab 1440H, Sabtu – Tiga puluh individu yang menyertai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dengan sebuah syarikat pengeluar produk kopi terkenal, membuat laporan polis mendakwa mereka ditipu sehingga kerugian mencecah lebih RM50 juta.

Wakil kumpulan itu, Muhd Bajili Bakri, 34, berkata mereka menuntut pihak syarikat tampil memulangkan semua modal dan wang keuntungan yang dijanjikan​​​​​​​ kepada ahli yang membeli pakej pelaburan secara tunai.

Menurut laporan media, ahli mengeluarkan modal dalam bentuk pelaburan tunai untuk pembelian produk atau barangan lain berdasarkan pakej yang ingin disertai.

Ahli dijanjikan hibah tunai secara tetap setiap bulan selama 12 bulan mengikut pakej yang ditetapkan dengan pakej RM10,000 dijanjikan pulangan kira-kira RM600 setiap bulan selama setahun dan diberikan produk antaranya kopi keluaran syarikat itu.

Muhd Bajili mendakwa lebih 30 ahli di Pulau Pinang mengalami kerugian RM50 juta selepas melabur dalam syarikat itu yang diterjaui oleh seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’.

Beliau adalah antara mangsa membuat laporan polis ​​​​​​​di Balai Polis Seberang Jaya di sini pada jam 10 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan terbabit dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Dalam pada itu, seorang mangsa, Salamah Samsudin, 57, berkata beliau bukan sahaja terlepas untuk menunaikan ibadah haji, malah wang simpanannya di Tabung Haji berjumlah RM30,000 yang dikeluarkan semata-mata untuk melabur di dalam syarikat itu turut lesap.

Katanya, beliau mula menyertai program itu pada 2015 dan dijanjikan akan mendapat pulangan lumayan dengan cara pembelian produk yang dikeluarkan syarikat itu.

“Saya juga yakin dengan syarikat itu kerana mereka banyak menaja program realiti televisyen. Akibat terpengaruh dengan kejayaan syarikat itu, saya bersama seorang lagi rakan melabur RM100,000 dengan cara membeli barangan dikeluarkan syarikat.

“Sebahagian daripada barang yang dibeli itu diserahkan kembali kepada mereka dan syarikat berjanji mahu membantu kami untuk menjualnya malah akan memperoleh komisen yang lebih tinggi serta mendapat insentif tahunan,” katanya.

Namun sejak 2016, menurutnya, beliau sudah tidak mendengar berita daripada pihak syarikat mengenai wangnya serta pulangan yang dijanjikan.

Sementara itu, media melaporkan seramai 19 individu di Pahang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini dengan mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM735,000 selepas menjadi mangsa penipuan skim cepat kaya oleh syarikat pengeluar kopi tersebut. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close