Berita UtamaDuniaIstimewaPalestinUtama

VIDEO | Israel bom Gaza

Rejim Zionis dakwa dua roket ditembak ke arah Tel Aviv

SEMENANJUNG GAZA, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Rejim Zionis hari ini melancarkan serangan udara ke atas Gaza, beberapa jam selepas roket dilepaskan ke arah Tel Aviv, mencetuskan kebimbangan pertelingkahan Israel-Palestin akan lebih besar.

Letupan kedengaran di Gaza awal hari ini, dengan saksi berkata, pesawat Israel menyasarkan kedudukan anggota Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Serentak itu, penganjur himpunan ‘The Great March of Return’ menangguhkan tunjuk perasaan yang diadakan sejak Mac tahun lalu, berhampiran pagar sempadan Gaza-Israel, demi keselamatan warga Palestin.

Dalam serangan awal pagi tadi, rejim pengganas Israel menyasarkan kira-kira 30 lokasi sayap ketenteraan Hamas dan sekutunya, Islamik Jihad, menyebabkan beberapa kerosakan, tetapi tiada laporan kehilangan nyawa.

Agensi berita tempatan melaporkan seorang wanita dan suaminya cedera di Rafah, tetapi tidak menyatakan maklumat lanjut.

Rejim Israel mendakwa mereka menyerang Gaza beberapa jam selepas dua roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke kawasan tidak jauh dari Tel Aviv. Serangan menyasarkan kawasan Khan Younis di selatan Gaza.

Hamas menafikan pihak mereka menembak roket ke arah Tel Aviv, dan menyatakan tindakan seperti itu bertentangan dengan konsensus kebangsaan, serta berjanji mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Islamik Jihad dan satu lagi kumpulan bersenjata Palestin, turut menafikan mereka melancarkan roket ke arah Tel Aviv.

“Tuduhan itu hanya satu pembohongan oleh Israel. Pergerakan kami serta sayap tentera Brigade Al-Quds tidak melancarkan serangan roket,” kata jurucakap Islamik Jihad, Daoud Shihab.

Sementara itu, tunjuk perasaan setiap hari sejak Mac tahun lalu dibatalkan hari ini, susulan serangan jet rejim Israel di Khan Younis.

“Selaras dengan kepentingan awam, jawatankuasa penganjur memutuskan untuk menangguhkan aktiviti yang dijadualkan hari ini. Tunjuk perasaan akan diadakan untuk hari-hari berikutnya,” kata penganjur The Great March of Return.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum berkata, pergerakan itu mengutuk serangan rejim Israel yang menyasarkan orang awam dan tindakan itu adalah jenayah terbaharu Tel Aviv.

“Hamas menegaskan bahawa rakyat Palestin tahu bagaimana untuk menangani serangan Israel. Tannggungjawab moral memberi penentangan tidak akan diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan selepas serangan rejim pengganas itu. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close