Berita UtamaUtama

Siasat pihak buang sisa kimia dalam kolam takungan di Klang

Bahan kimia dibuang dalam longkang dan mengalir ke dalam sungai

BANGI, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Kerja-kerja pembersihan sisa kimia yang mencemarkan kolam takungan air di sekitar Taman Eng Ann, Klang semalam sedang dilakukan dan dijangka mengambil masa dua hari untuk diselesaikan, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Katanya, sampel sisa kimia itu juga telah diambil oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan dihantar ke makmal untuk siasatan lanjut.

Selain itu, beliau juga mengarahkan tindakan segera diambil untuk kerja-kerja mitigasi membendung dan membersihkan sisa kimia ini dilaksanakan serta-merta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penduduk sekitar.

“Saya difahamkan pihak LUAS telah memulakan proses membendung serta mitigasi sekitar jam 8 malam semalam dan kerja pembersihannya akan dimulakan kontraktor yang dilantik oleh LUAS pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, Unit Bencana Negeri Selangor juga diarah untuk memantau keadaan semasa serta bekerjasama dengan LUAS, Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Alam Sekitar Selangor untuk menyelesaikan kes pencemaran tersebut.



Amirudin tegas berkata, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa kimia ke kawasan kolam takungan berkenaan, malah satu laporan polis juga dibuat oleh LUAS bagi mengesan pihak terbabit.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua penduduk di sekitar kawasan tersebut supaya bertenang dan tidak panik dengan insiden pencemaran berkenaan kerana agensi kerajaan negeri akan melaksanakan proses pembersihan kolam takungan berkenaan secepat mungkin.

Semalam, Pengarah LUAS Datuk Hashim Osman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai pembuangan sisa disyaki bahan kimia di Sungai Klang kira-kira jam 6 petang.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, bahan kimia itu dipercayai dibuang ke dalam longkang dan mula mengalir ke dalam Sungai Klang, namun tindakan pencegahan pencemaran telah dilakukan segera oleh pihaknya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close