Berita UtamaDuniaUtama

‘Saya dengar 50 das tembakan’, kata saksi

Serangan pengganas seperti telah dirancang dengan amat teliti

CHRISTCHURCH, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Bandar raya Christchurch, New Zealand pada Jumaat diselubungi ketakutan, selepas dua serangan tembakan menyasarkan dua buah masjid di pusat bandar itu mengorbankan 49 nyawa. 

Jalan raya di bandar raya itu sunyi sepi serta lengang berikutan nasihat Datuk Bandar Christchurch, Lianne Dalziel supaya orang ramai “tinggal di dalam rumah” demi keselamatan, memandangkan mungkin ada suspek yang masih bebas. 

Tinjauan mendapati semua sekolah ditutup, ibu bapa sibuk mendapatkan maklumat terkini, kelihatan ada yang menangis hiba membaca berita kejadian itu sambil ditenangkan rakannya.

“Hari ini merupakan hari paling malang buat New Zealand. Jelas ia serangan pengganas dan telah dirancang dengan amat teliti.

“Dua bom yang dipasang pada kereta berjaya dimatikan pihak polis. Tahap keselamatan di New Zealand dinaikkan ke tahap tertinggi,” kata Perdana Menteri, Jacinda Ardern pada sidang akhbar di Wellington. 

Seorang pelajar sekolah menengah berusia 14 tahun di Christchurch memberitahu media tempatan, bapa saudaranya seorang daripada mangsa yang ditembak.

“Lebih 50 das tembakan kedengaran,” katanya mengimbau detik kejadian.

Sementara media melaporkan terdapat kira-kira 110 das tembakan dilepaskan.

Empat suspek, termasuk tiga lelaki dan seorang wanita, ditahan oleh polis setakat ini.  Seorang daripada suspek dipercayai warga Australia yang perbuatan kejamnya dirakam dan video itu kini tular di media sosial.

Jalan raya utama di Christchurch dikawal ketat polis dan tidak membenarkan orang ramai berada berhampiran lokasi kejadian.

Helikopter kelihatan berlegar-legar diruang udara diselang-seli bunyi siren polis.

“Saya masih menggigil dan trauma,” kata seorang saksi. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close