Berita UtamaUtama

Sabah tiada agama rasmi jika pinda Perkara 1(2) Perlembagaan

Pandikar kata kerajaan setuju pinda sebab nak mengaburi mata rakyat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin menempelak keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.

Beliau berkata, pindaan itu tidak sewajarnya dilakukan kerana semangat Jawatankuasa Teknikal dan Kerja Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah terkandung di dalam Perlembagaan.

Pandikar turut menyifatkan persetujuan pindaan perkara berkenaan adalah usaha Pakatan Harapan untuk mengaburi mata rakyat.

“Jika mahu berbalik seperti asal MA63, kalau itu yang dia mahu buat, Datuk Seri Shafie Apdal perlu akur kepada keadaan mula-mula merdeka.

“Bermula merdeka, 10 tahun Sabah tiada agama rasmi. Jadi, diubah pada tahun 1973 ditambah satu Artikel 5A. Pindaan kepada Perlembagaan dilakukan pada tahun 1976 dan disokong oleh semua wakil rakyat.

“Apa beza wakil rakyat pada 1976 dengan wakil rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila semua sokong, bermakna ia ‘valid’. Jadi mengapa nak berbalik kepada dulu? Ini seperti perangkap diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Perlembagaan Persekutuan di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong mengesahkan kerajaan bersetuju membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, dan dipersetujui Kabinet.

Ia akan dibentangkan oleh MA63 mengenai hak sama rata Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dalam sidang Dewan Rakyat.

“Kita memerlukan 148 daripada 222 Ahli Parlimen. Saya percaya Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak akan menyokong pindaan ini,” kata Vui Keong.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close