Dunia

COVID-19: Kes cecah sejuta, India kuat kuasa perintah berkurung

Rantau Asia Selatan kini jadi pusat baharu penularan wabak

NEW DELHI, 24 Zulkaedah 1441H, Khamis – India menguatkuasakan semula perintah berkurung di beberapa negeri susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang hampir mencecah sejuta. 

Perintah berkurung selama 15 hari itu dikuatkuasakan di bahagian Utara Bihar, selepas kes meningkat mendadak, selain kebimbangan terhadap keadaan infrastruktur kesihatan yang lemah di kawasan luar bandar. 

Sehari sebelumnya, negeri Selatan Karnataka ditutup selama seminggu. Negeri Barat Goa juga terpaksa diarah perintah berkurung bermula petang Khamis sehingga 10 Ogos ini. 

Pelaksanaan penguatkuasaan itu dibuat ketika India sedang berperang dengan jangkitan pandemik berkenaan, yang hampir mencecah sejuta kes dan 25,000 kematian. 

Sebelum ini, Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa memberi amaran bahawa rantau Asia Selatan menjadi pusat baharu terhadap penularan wabak itu. 

“Sementara perhatian dunia tertumpu kepada krisis yang sedang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan Amerika Selatan, sedangkan tragedi sama juga berlaku di Asia Selatan.

“COVID-19 merebak dengan cepat di Asia Selatan, yang mempunyai satu perempat penduduk,” kata organisasi itu. 

AS dan Brazil telah mencatatkan jumlah kes dan kematian tertinggi di dunia akibat COVID-19. 

India pula merekodkan 970,000 kes, di mana wabak mula menular ke Pakistan dan Bangladesh – masing-masing dengan hampir 260,000 dan 195,000 kes. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button