Berita UtamaUtama

‘Kaum lain patut kenang budi orang Melayu’

Tak salah sayang bangsa masing-masing, tapi jangan sampai ideologi dan akidah terbuka untuk memusuhi Islam, kata Hadi Awang

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Tidak beradab dan berakhlak apabila ada di kalangan orang bukan Islam yang mempertikaikan hak istimewa Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini, sedangkan mereka berjuang melawan penjajah, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bahkan Presiden PAS itu berkata, paling tidak berakhlak apabila golongan berkenaan mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Islam, dan usaha menyatukan umat Islam serta Bumiputera sehingga ia dianggap sebagai ancaman kepada kaum lain.

Beliau berkata, kaum lain sepatutnya mengenang budi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang melayan mereka di atas sifat kemanusiaan sejagat seperti diasuh oleh Islam.

“Perlu disedari bahawa Melayu dan Peribumi yang telah memakmurkan tanah air ini sebelum kedatangan penjajah Barat dan kehadiran kaum lain.

“Umat Islam Melayu dan Bumiputera lain terpaksa menentang penjajah sejak tahun 1511 yang silih berganti sehinggalah negara mencapai kemerdekaan, dan diterimanya kaum lain yang dibawa oleh penjajah mengikut agenda jus soli,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hadi berkata, secara tiba-tiba orang Melayu dan Bumiputera ketinggalan serta terpinggir daripada pelbagai sudut, termasuk pendidikan dan ekonomi sehingga dibodohkan berpolitik serta berpecah sesama mereka.

Sedangkan kaum lain lebih diberikan peluang sehingga dapat menguasai kawasan bandar, pendidikan, ekonomi dan bersatu dalam politiknya, katanya.

“Setelah mencapai kemerdekaan, maka orang Melayu Islam dan Bumiputera diberi hak istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan dari segi agama, bahasa, ekonomi dan lain-lain.

“Malangnya orang Melayu Islam masih terkebelakang kemampuannya, bersaing pula dengan kaum lain dan tidak dapat mengejar kaum lain dengan sebab-sebab yang tertentu, maka mereka perlu terus diperkasakan,” katanya.

Katanya, hari ini dapat dilihat dengan nyata betapa kekayaan kaum yang mendapat peluang itu, membuat kenyataan mencabul Islam dan melakukan agenda membeli orang Melayu yang berkuasa dengan rasuah serta salah laku.

“Sehingga orang-orang Islam Melayu yang berada di bandar dihalau secara halus di atas nama pembangunan bandar, bahkan dirancang lagi untuk menguasai bandar-bandar besar yang dapat disaksikan, dibaca dan didengar dengan nyata.

“Tegasnya tidak menjadi salah sikap sayang kepada bangsa masing-masing, tetapi janganlah kasih sayang itu dijadikan ideologi dan akidah terbuka untuk memusuhi Islam dan marahkan perpaduan umatnya,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close