Berita UtamaIstimewaUtama

Isma kutuk serangan masjid

49 jemaah solat Jumaat maut ditembak di dua masjid di New Zealand

BANGI, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, mengutuk serangan ke atas dua masjid di New Zealand hari ini, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 49 jemaah, dan mencederakan puluhan yang lain.

“Isma melahirkan rasa terkejut dan marah terhadap kejadian menembak umat Islam di masjid, di Christchurch ketika solat Jumaat tadi,” kata Presiden Isma, Haji Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Isma mendesak kerajaan New Zealand menangkap, mendakwa dan mengenakan hukuman berat terhadap penjenayah yang melakukan perbuatan kejam itu.

“Ini membayangkan bagaimana Islamophobia begitu menebal di kalangan masyarakat bukan Islam sehingga sanggup membunuh mereka yang sedang beribadat.

“Barat mesti memberhentikan doktrin memburuk-burukkan Islam dan melabelkan Islam sebagai pengganas, walhal apa yang berlaku hari ini jelas dilakukan oleh orang mereka sendiri. Hentikan segera islamophobia,” katanya.

Sehubungan itu, Isma mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi itu, termasuk dua rakyat Malaysia dan mendoakan mereka diberikan kesabaran menghadapi ujian Allah.

Dalam kejadian di dua masjid – Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch – ketika solat Jumaat hari ini, seorang lelaki yang memasuki masjid itu melepaskan tembakan rambang ke arah umat Islam, sambil membuat rakaman secara langsung dalam Facebooknya.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyifatkan serangan itu dilakukan pengganas dan berkata, suspek mempunyai pandangan ekstrem.

Dalam tragedi yang menggemparkan dunia itu, 41 jemaah terbunuh di Masjid Al Noor, tujuh di Masjid Linwood dan seorang meninggal dunia ketika diberi rawatan di hospital.

Kedua-dua masjid itu terletak di pusat bandar Christchurch dan pihak polis telah menutup kawasan itu.

Kira-kira 40 jemaah, termasuk kanak-kanak yang cedera ditembak dimasukkan ke Hospital Christchurch.

Ketua Polis New Zealand, Komisioner Mike Bush pada sidang media berkata, empat suspek, termasuk seorang wanita ditangkap berhubung kejadian itu, selain menolak kemungkinan masih ada saki baki kumpulan itu, tetapi menegaskan bahawa siasatan masih dijalankan.

Lelaki berusia dalam lingkungan 20-an telah dituduh membunuh di Mahkamah Christchurch. Selain merampas senjata digunakan, polis turut menemui peranti letupan di dalam sebuah kenderaan yang digunakan.

Situasi itu juga tidak dianggap terhad kepada Christchurch sahaja, dan Bush meminta umat Islam yang berhasrat untuk ke masjid malam ini supaya tidak berbuat demikian, sehingga dimaklumkan perkembangan terbaharu atau mengikuti maklumat dalam Facebook polis.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close