Berita UtamaUtama

Ibrahim Ali tuntut RoS lulus pendaftaran Putra

Wujud ketidakpatuhan dalam SOP dikendalikan responden

BANGI, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Dr Ibrahim Ali, hari ini memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) yang tidak menjawab permohonan pendaftaran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Ibrahim yang juga Presiden Penaja Putra selaku pemohon, memfailkan permohonan itu melalui sistem e-filing di Mahkamah Tinggi, menerusi peguamnya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dengan menamakan Ketua Pengarah RoS dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau berkata, pihaknya mengemukakan permohonan kebenaran itu menurut Aturan 53 Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Selain itu, dalam permohonan, Ibrahim turut memohon perintah mandamus supaya responden meluluskan permohonan pendaftaran parti tersebut yang telah dikemukakan pada Ogos 2018.

“Pihak kami memohon deklarasi ke atas tindakan responden yang tidak menjawab permohonan untuk menubuhkan parti berkenaan adalah tidak berperlembagaan serta bertentangan dengan hak pemohon bagi menubuhkan persatuan seperti terkandung dalam Perkara 10(1) (c) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Katanya, satu mesyuarat telah diadakan pada 4 Ogos tahun lalu dan dalam mesyuarat itu juga, draf Perlembagaan Putra diluluskan untuk dihantar kepada kedua-dua responden.

“Permohonan untuk penubuhan Putra telah dihantar dalam talian pada 13 Ogos tahun lalu dan dokumen berhubung penubuhan juga dihantar kepada responden pada 16 Ogos tahun sama, selain perjumpaan turut diadakan dengan pegawai responden untuk mendapatkan penjelasan tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) proses kelulusan itu,” katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, pihaknya tidak menerima apa-apa maklum balas berhubung status permohonannya selain mendakwa wujud ketidakpatuhan dalam SOP yang dikendalikan oleh responden.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan RoS yang tidak menjawab permohonannya sehingga kini meskipun selepas notis penubuhan Putra dihantar kepada mereka. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close