Berita UtamaUtama

Anggota polis antara 5 didakwa tuduhan samun berkumpulan

Semua tertuduh diarah serah pasport sehingga kes selesai

PETALING JAYA, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Lima lelaki termasuk seorang pegawai polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan samun berkumpulan ke atas seorang kerani wanita, awal bulan ini.

Inspektor Mohamad Shahrul Izuairi Ibrahim, 38; dua peniaga kedai makan Nik Abdul Azim Nik Borahanuddin, 24, dan Wan Zakaria Zaidi, 29; pekerja kedai runcit, Mohamad Zulhairi Kamaruddin, 19; dan penganggur, Kamarubaisham Abdullah, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mereka didakwa menyamun As Afirah Chai Abu Bakar Abdullah, 21, dan merompak wang tunai RM700 berserta enam jenis telefon bimbit pelbagai jenama, dua utas jam dan sebuah komputer riba milik wanita itu di sebuah rumah di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan Persiaran Indera, Puchong, di sini, pada 3.30 pagi, 3 Mac lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Di samping itu, tertuduh keempat Zuhairi dan Shahrul Izuari yang bertugas di bahagian pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, masing-masing turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memiliki harta curi iaitu komputer riba dan seutas jam tangan bersabit kejadian serta mangsa yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelompok Teratai, Taman Keramat, Wangsa Maju dan juga di Restoran Shah Maju, Jalan Bunga Tanjung, Taman Putra, Ampang, Selangor, antara jam 4.30 petang dan 7.00 malam, 5 Mac lalu.

Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy’ari Kamaruzzaman tidak menawarkan sebarang wang jaminan ke atas kesemua tertuduh, namun memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan sekiranya jaminan dibenarkan.

Bagaimanapun, peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan antara RM5,000 hingga RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan samun berkumpulan dan jaminan sekitar RM1,000 hingga RM3,000 bagi pertuduhan memiliki harta curi.

Justeru, mahkamah membenarkan Mohamad Shahrul Izuari dan Mohamad Zulhairi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala RM8,000 dengan seorang penjamin bagi tiga tertuduh yang lain.

Kesemua tertuduh membayar wang jaminan itu kecuali Kamarulbaisham.

Hakim Norshila, turut mengarahkan kesemua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta dikehendaki melaporkan diri sebulan sekali ke balai polis berhampiran, selain menetapkan 7 Mei depan untuk sebutan semula kes. – Bernama
 
Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close