Berita UtamaDuniaUtama

6 maut, 31 cedera jejantas pejalan kaki runtuh di Mumbai

Perdana Menteri India beri jaminan akan hulur bantuan kepada mangsa

INDIA, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Sekurang-kurangnya enam maut, manakala 31 yang lain cedera apabila jejantas pejalan kaki runtuh berhampiran stesen kereta api utama di Mumbai.

Media India melaporkan, jambatan itu sedang dibaiki, namun telah digunakan oleh penduduk ke Chhatrapati Shivaji Terminus ketika waktu puncak sekitar jam 7.30 malam (14:00 GMT), Khamis.

Menerusi satu kenyataan Twitter, Perdana Menteri India, Narendra Modi melahirkan rasa terkejut dengan nahas yang berlaku, dan memberi jaminan pihak Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah Maharashtra akan menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Dilaporkan, Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan India telah menghantar pasukan penyelamat kerana khuatir ada mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Sebelum ini, nahas sama berlaku sehingga menyebabkan 22 maut apabila jejantas yang menghubungkan dua stesen kereta api di tengah Mumbai runtuh pada tahun 2017.

Pakar menyalahkan kelemahan infrastruktur rangkaian kereta api, yang telah lama bergelut untuk menampung jutaan penumpang sehari.

Kira-kira 7.5 juta penumpang menggunakan 2,500 kereta api setiap hari sebagai penghubung antara bandar kepada kira-kira 20 juta penduduk.

Namun dilaporkan, hampir 10 orang maut di pinggir bandar setiap hari, sama ada terjatuh dari kereta api yang padat atau ketika melintasi trek.

Pengguna berkata, pembinaan infrastruktur kereta api tidak seiring dengan populasi penduduk yang semakin meningkat. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close