Berita UtamaUtama

UiTM Pasir Gudang pula ditutup

Operasi kampus termasuk kuliah ditangguh 5 hari bermula semalam

SHAH ALAM, 7 Rejab 1440H, Khamis – Pihak pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor memutuskan untuk menutup kampus Pasir Gudang.

Selain itu, pihaknya turut bersetuju untuk menangguhkan semua operasi kampus termasuk kuliah selama lima hari bermula semalam susulan insiden pencemaran sisa kimia di daerah itu.

Rektor UiTM Cawangan Johor Prof Madya Dr Ahmad Naqiyuddin Bakar berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Operasi Bencana Negeri UiTM Cawangan Johor semalam.

“Semua warga kampus dinasihatkan mengambil langkah keselamatan seperti memakai topeng muka, mengurangkan aktiviti luar, menghindari kawasan tercemar, kerap minum air daripada sumber terawat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menasihati pelajar untuk mendapatkan rawatan segera ke hospital berdekatan sekiranya mengalami simptom-simptom seperti pedih mata, kesukaran bernafas dan sakit dada.

Sehubungan itu, sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh diajukan kepada Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang di talian 07-3818000 atau Penyelaras Unit Komunikasi Korporat Kampus Pasir Gudang, Siti Mariam Mohammad Illiyas di talian sambungan 07-3818134 atau 016-3335364 atau e-mel kepada sitim364@uitm.edu.my.

Sebelum ini, kejadian pencemaran sisa toksik yang berlarutan sejak 7 Mac lalu telah menyebabkan lebih 947 orang awam dan pelajar sekolah dirawat di hospital termasuk lapan mangsa masih di Unit Rawatan Rapi (ICU), sementara 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup serta-merta. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close