Berita UtamaIstimewaUtama

Tentera masuk Pasir Gudang

Pusat Nuklear, Biologi, Radiologi dan Kimia Tentera Darat dikerah

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 7 Rejab 1440H, Khamis – Pusat Nuklear, Biologi, Radiologi dan Kimia Tentera Darat (PNBRK TD) di bawah Skuadron Ke-12 Kor Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang berpangkalan di Markas 3 Divisyen, Kem Terendak, Melaka telah diaturgerakkan bagi membantu mangsa dan kejadian pencemaran bahan kimia di sekitar kawasan Pasir Gudang, hari ini.

Pasukan 26 anggota diketuai Lt Kolonel Norhelmi Ismail, empat pegawai dan 21 anggota itu dilengkapi pelbagai peralatan, seperti ChemPro, Lightweight Chemical Detector (LCD), Sampling Equipment, CBRN Protective Suit (Complete), Tyvek Suit, Breathing Apparatus (BA), Nitrile Glove dan N95 Mask.

PNBRK TD berpengalaman dalam pelbagai misi bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani ancaman nuklear, biologi, radiologi dan kimia, dalam suasana perang moden.

Difahamkan, pasukan ini telah menerima pengiktirafan PBB dan layak menyertai misi ke luar negara

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya mempunyai satu unit PNBRK TD sahaja, dan mempunyai kepakaran dalam mencuciatau menyahaktif bahan kimia serta nuklear.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pertahanan berkata, pasukan itu melapor diri di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor.

“Tim Nyah Cemar CBRN kini sedang bersiap sedia bagi diaturgerak membantu pihak berkuasa melaksanakan tugas pembersihan anggota dan kawasan yang tercemar bahan kimia beracun dan akan membantu pihak Hazardous Materials Management (HAZMAT) dalam pelaksanaan operasi di tempat kejadian.

“Selain itu, Tentera Darat juga telah menghantar Tim Casualty Evacuation Unit (CEU) dari 2 Batalion Ubat seramai 1 Pegawai Perubatan dan 3 paramedik bersama sebuah ambulan yang akan bergabung bersama Tim Nyah Cemar CBRN untuk bantuan kepada Tim Tentera Darat yang terlibat di dalam Operasi,” kata Kementerian Pertahanan.

Dalam perkembangan sama, tempat rawatan yang sebelum ini dibuka di Dewan Taman Mawar dan Dewan Pasir Putih mula berpindah ke Stadium Pasir Gudang bagi memudahkan penempatan pesakit serta peralatan rawatan yang lebih baik dan teratur.

Pencemaran toksik yang masuk hari kelapan hari ini menyaksikan jumlah kes baharu meningkat apabila pekerja kilang turut dilaporkan mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah.

Ketua Operasi Petugas Jabatan Amal PAS, Abd Aziz Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dapat memberikan anggaran tepat jumlah pesakit kerana mereka keluar masuk sepanjang hari.

“Bagaimanapun jumlah dianggarkan naik sikit antara 900 lebih kerana pekerja kilang di sekitar kawasan sekitar pula mula terbabit,” katanya.

Pelbagai pihak ketika ini menggesa Kerajaan Johor mengisytiharkan darurat di seluruh kawasan Pasir Gudang serta-merta berikutan bilangan mangsa pencemaran bahan toksik semakin meningkat.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close