Berita UtamaUtama

Seorang maut, tiga cedera tembakan di Narathiwat

Letupan bom sasar kumpulan keselamatan, renjer buat rondaan

KELANTAN, 7 Rejab 1440H, Khamis – Seorang penduduk tempatan maut dan tiga renjer cedera dalam kejadian serangan bom dan tembakan yang berlaku secara berasingan dalam tempoh 48 jam lalu di Narathiwat.

Sehubungan itu, kes terbaharu berlaku sekitar jam 8.45 pagi tadi waktu tempatan di Kampung Sompoi, Bachok apabila sebutir bom buatan sendiri seberat lima kilogram diletupkan di tepi jalan raya Pattani-Narathiwat dan menyebabkan penduduk tempatan Cekmek Senik, 54, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Bachok.

Penolong Ketua Polis Daerah Kapt. Polis Panom Ampawan berkata, bom itu dipercayai menyasarkan sebuah kereta dinaiki enam renjer yang sedang meronda di tempat kejadian.

Beliau berkata, suspek yang bersembunyi di kawasan itu telah mengaktifkan bom dengan menggunakan walkie-talkie tetapi ianya tidak mencederakan renjer

“Bagaimanapun, mangsa (Cekmek) yang sedang bersarapan di sebuah kedai makan di tepi jalan terkena serpihan bom itu sehingga mengakibatkan kecederaan parah dan meninggal dunia di hospital,” katanya.

Katanya, kejadian pagi tadi itu menyusuli dua insiden semalam yang turut menyasarkan pasukan keselamatan.

Insiden pertama berlaku kira-kira 10.10 pagi waktu tempatan yang menyaksikan sebutir bom paip buatan sendiri dilontarkan ke pos kawalan polis di Yingo.

Jurucakap polis Yingo berkata, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan dua suspek berpakaian wanita dan menutup muka dengan menaiki motosikal telah melontarkan bom paip tersebut ke arah pos kawalan.

“Namun demikian, dua pegawai polis yang berada di tempat kejadian ketika itu berjaya menyelamatkan diri apabila melihat bom dilontarkan ke arah pos kawalan,” katanya.

Manakala dalam kejadian kedua, kira-kira 10.40 malam tadi (waktu tempatan), tiga anggota tentera dilaporkan cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata telah melepaskan tembakan ke arah markas tentera yang terletak di Kampung Sipangan, Tak Bai.

Di samping itu, Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mej. Jen. Polis Dussadee Chusangkit melakukan tinjauan di tempat kejadian hari ini berkata, bangunan markas tentera itu mengalami kerosakan teruk termasuk, empat buah kenderaan juga musnah akibat terkena peluru grenad M79.

“Polis juga menemui serpihan bom buatan sendiri yang diisi di dalam tong gas memasak dengan lebih 50 kelongsong peluru serta serpihan bom paip di tempat kejadian,” katanya.

Justeru, polis percaya tembakan yang dilepaskan ke arah markas telah menggunakan pelbagai jenis senjata api yang melibatkan lima hingga enam orang suspek.

Beliau berkata, sebutir bom seberat 25 kilogram juga turut diletupkan oleh kumpulan itu sebelum beredar dari tempat kejadian. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close