Berita UtamaUtama

‘PH umum jual MAS, Najib pula disalahkan’

Kerajaan PH tak perlu takut isytihar darurat jika keadaan memerlukan

BANGI, 7 Rejab 1440H, Khamis – Kesal diri terus dipersalahkan, Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menuduh kenyataan bekas perdana menteri itu untuk menakut-nakutkan kakitangan Malaysia Airlines (MAS).

Najib berkata, yang mengumumkan kemungkinan MAS akan ditutup dan dijual adalah kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi sebaliknya beliau yang dipersalahkan dan dituduh untuk menakutkan kakitangan syarikat penerbangan negara itu.

“Yang umum ada kemungkinan untuk tutup atau jual MAS adalah kerajaan PH. Yang tanya saya tentang pendapat saya jika MAS patut ditutup atau dijual ialah wartawan di Parlimen.

“Yang disalahkan dan dituduh telah menakut-nakutkan pekerja MAS ialah saya pulak. Ini satu lagi alasan ‘semua salah Najib’ dari Menteri Kewayangan kita. Apakah kemungkinan MAS akan dijual?,” katanya sambil memuatnaik keratan laporan kenyataan Guan Eng itu.

—————————————————————————————————————————

Dalam kenyataan berasingan, Najib berkata, ekonomi negara kehilangan RM200 bilion akibat daripada kejatuhan Bursa Saham Malaysia sahaja, sejak PH menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, nilai Bursa Malaysia jatuh daripada RM1.9 trilion pada akhir tahun 2017 kepada RM1.7 trilion pada akhir 2018, dan ia jatuh lagi tahun ini.

“Kehilangan nilai ini ialah dari tabung-tabung rakyat seperti PNB, Tabung Haji, KWSP, Khazanah serta pelaburan unit amanah and saham rakyat. Wang Rakyat juga yang hilang.

“Semasa saya menjadi PM pada April 2009, jumlah nilai Bursa Malaysia hanya RM790 bilion sahaja. Kerajaan BN dahulu semasa saya PM berjaya meningkatkan ini menjadi RM2 trilion pada masa kita kalah PRU14 pada Mei tahun lepas,” katanya.

—————————————————————————————————————————

Sementara itu, mengulas mengenai situasi semasa pencemaran sisa bahan kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Najib berkata, pengisytiharan darurat bencana daerah itu bukan satu perkara yang senang mencetuskan panik dalam masyarakat seperti yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah.

Beliau menjelaskan, bencana jerebu pernah diisytiharkan bagi seluruh Daerah Muar dan Daerah Ledang pada tahun 2013, namun tiada seorang pun yang panik.

Najib menegaskan, pengisytiharan darurat bencana dilaksanakan kerana ia memudahkan operasi bersama kerajaan pusat dengan kerajaan negeri untuk membaik pulih kawasan terjejas dilakukan dengan segera dan secepat mungkin.

“Oleh itu, kerajaan PH tak perlu takut untuk isytiharkan darurat jika situasi memerlukannya.

“Sebaliknya, kerajaan perlu bertindak dengan pantas dan tegas apabila nyawa dan kesejahteraan rakyat terancam,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close