Berita UtamaUtama

Pencemaran toksik: PAS Johor gesa isytihar darurat

BPPNJ mahu kerajaan negeri ambil tindakan serius tangani pencemaran

BANGI, 7 Rejab 1440H, Khamis – Kerajaan Johor digesa mengambil tindakan yang lebih serius dengan mengisytiharkan darurat di seluruh kawasan Pasir Gudang serta-merta, dalam usaha menangani pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang semakin berlarutan sejak Khamis lalu.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata, walaupun kenyataan telah dikeluarkan Menteri Besar Johor pada lewat petang semalam bahawa keadaan masih terkawal, namun Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ) mendapati keadaan semakin membimbangkan. 

Ini kerana masih lagi terdapat penduduk terpaksa dikejarkan ke pusat rawatan, katanya.

“BPPNJ telah melihat dengan penuh teliti isu yang sedang dihadapi oleh penduduk di Pasir Gudang yang membabitkan pencemaran sisa kimia sehingga ratusan penduduk terpaksa dirawat di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih, dan ada yang terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor yang kebanyakannya membabitkan golongan pelajar sekolah dipercayai terhidu gas kimia berbahaya.

“Justeru, BPPNJ menggesakan agar Kerajaan Johor perlu mengambil tindakan yang lebih serius dengan mengisytiharkan darurat di seluruh kawasan Pasir Gudang dengan serta-merta supaya punca sebenar pencemaran tersebut yang telah dikenalpasti itu dibersihkan dan diuruskan dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Besar Johor, Osman Sapian mengesahkan situasi pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang tidak sehingga perlu diisytiharkan sebagai darurat kerana masih dalam keadaan terkawal. 

Katanya, pengesahan berkenaan berdasarkan laporan-laporan daripada jabatan berkaitan berhubung kejadian itu. 

Setakat semalam, sejumlah 506 orang dirawat dengan sembilan daripada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala semua sekolah di sekitar Pasir Gudang di arah tutup serta-merta. 

Kes pencemaran toksik yang masuk hari kelapan hari ini menyaksikan jumlah kes baharu meningkat apabila pelajar dan murid beberapa lagi sekolah di sekitar kawasan itu mendapatkan rawatan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih kerana mengalami sesak nafas, loya dan muntah.

Kejadian itu turut menyaksikan tiga orang termasuk dua pemilik kilang ditahan dan seorang daripadanya dijangka didakwa di mahkamah hari ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close