Berita UtamaIstimewaUtama

Mangsa cecah 1,906, penduduk pindah ke kawasan selamat

Kerajaan negeri dakwa kes akibat sisa bahan kimia masih terkawal

JOHOR BAHRU, 7 Rejab 1440H, Khamis – Tatkala 1,906 mangsa pencemaran sisa bahan kimia telah mendapat rawatan perubatan kecemasan, pusat saringan mangsa pencemaran sisa kimia di Dewan Komuniti Pasir Putih ditutup dan dipindahkan ke Stadium Tertutup Pasir Gudang (MPPG).

Tatkala 111 sekolah rendah dan menengah ditutup berkuat kuasa semalam, kes keracunan kimia terbaharu dilaporkan berlaku di Pasaraya Maslee Taman Cendana dan Western Digital pada kira-kira jam 3 petang tadi membabitkan 10 individu.

Tatkala Jawatankuasa Bencana Negeri mendapati tiada keperluan untuk memindahkan penduduk, sambil mendakwa keadaan adalah terkawal, ramai penduduk di beberapa taman perumahan sekitar Pasir Gudang, mula meninggalkan rumah mereka buat sementara.

Bernama melaporkan, bimbang dengan keadaan pencemaran kimia itu, sebilangan penduduk di Pasir Gudang mula mengambil inisiatif sendiri meninggalkan kediaman mereka buat sementara.

Mereka mengambil keputusan keluar dari kawasan itu demi memastikan keselamatan diri dan keluarga mereka.

Seorang daripada mereka, Mahirah Ahmad Helmi, 32, berkata beliau hari ini membawa dua anaknya – berusia tiga tahun dan lima bulan ke Kempas, di sini untuk tinggal di rumah bapa mertuanya.

“Sejak beberapa hari lalu, anak pertama saya batuk-batuk, anak kedua pula mengalami mata merah. Saya telah bawa mereka ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk membuat pemeriksaan.

“Mulai hari ini, saya akan tinggal sementara di rumah bapa mertua malah sejak semalam, semua jiran saya sudah mula meninggalkan rumah masing-masing kerana merasakan kehidupan kami di situ (Pasir Gudang) terancam,” katanya yang tinggal di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

Mahirah yang juga Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 turut berharap proses pembersihan sungai dapat dijalankan dengan segera, bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahim Abdul Rahman, 47, berkata beliau telah membawa tiga anaknya menginap di sebuah hotel di pusat bandar sejak malam tadi.

Ini kerana beliau enggan mengambil risiko terhadap keselamatan anak-anaknya tambahan pula sekolah mereka telah diarah tutup semalam.

“Kami tinggal di hotel kerana merasakan tidak perlu untuk terus berada di rumah kami di Taman Bukit Dahlia…ada banyak sangat maklumat mengelirukan mengenai insiden ini,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close