Berita UtamaIstimewaUtama

‘Kita sambut perang kalau mahu’

Frasa 'perisytiharan perang' menteri kewangan panaskan Dewan Rakyat

BANGI, 7 Rejab 1440H, Khamis – PAS sedia berperang jika DAP mengisytiharkan mahu berbuat demikian, kata Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) ketika perbahasan di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung PAS itu menyatakan pendirian berkenaan ketika perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan diraja semalam, berlangsung dalam keadaan tegang apabila isu perisytiharan perang Lim Guan Eng (DAP-Bagan) dibangkitkan.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri (BN-Bera) membangkitkan frasa perisytiharan perang menteri kewangan itu, yang disifatkan berbentuk provokasi kepada bukan Melayu dan orang Melayu di negara ini.

“Ini provokasi yang amat serius. Kalau lah provokasi ini diambil oleh pihak bukan Melayu dan seterusnya mengisytiharkan perang kepada orang Melayu, bermakna tentu saja akan berlaku sesuatu perkara yang tidak kita ingini seperti 13 Mei 1969,” kata Ismail.

Kenyataan Ismail Sabri itu kemudiannya disambut Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), dengan berkata:

“Kita sambut perang kalau mahu perang”.

Respon Setiausaha Agung PAS itu menyebabkan suasana menjadi panas, dan beberapa wakil DAP kemudian bangun membantah dan meminta Takiyuddin dirujuk kepada jawatankuasa khas.

Sejurus kemudian, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya tidak membangkitkan isu-isu yang menimbulkan perasaan jahat antara kaum.

“Memadai sesuatu itu disebut dan tidak perlu disokong atau diapi-apikan,” katanya.

RSN Rayer (DAP-Jelutong) kemudiannya meminta untuk menyentuh peraturan mesyuarat mengenai kenyataan Ismail Sabri kerana membangkitkan perasaan sakit hati atau bermusuhan antara kaum.

Bagaimanapun, belum sempat Rayer menghabiskan membaca peraturan itu, barisan pembangkang bersorak dan mempersoalkan ‘siapa yang menyakitkan hati’ sehingga Ahli Parlimen DAP itu terdiam.

Ismail Sabri berkata, inilah contoh jika perkara-perkara sensitif dibangkitkan, dan sebab itu katanya jangan cuba untuk menimbulkan isu seumpama itu.

Rayer kemudian bangun dan bertanya siapa yang terlebih dahulu membangkitkan? Bagaimanapun soalannya itu dibalas dengan sorakan barisan pembangkang yang menjerit ‘Bagan, Bagan (Guan Eng)’.

Rabu lalu, Lim mengeluarkan kenyataan media berbahasa Cina menggesa MCA meninggalkan BN kerana menurutnya, kerjasama UMNO dan PAS dianggap ‘pengisytiharan perang’ terhadap orang bukan Islam.

Selepas kenyataan itu dilapor media, Guan Eng membuat menukarkan frasa ‘perisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan’.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close