Berita UtamaUtama

Isytihar darurat di Pasir Gudang, situasi ancam nyawa

Pemuda PAS minta adakan solat hajat malam ini di seluruh negara

BANGI, 7 Rejab 1440H, Khamis – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak kerajaan segera mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang, berikutan situasi yang membabitkan ancaman nyawa penduduk.

Pada masa sama, Ketua Pemudanya, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berharap mereka yang bertanggungjawab terhadap pencemaran bahan kimia toksik di Sungai Kim Kim, juga dibawa ke muka pengadilan.

“Cukuplah kesedihan kita melihat kesakitan mangsa tercungap-cungap menarik nafas sehingga menggeletar tangan kesan daripada terhidu kimia beracun ini. Usah biarkan peristiwa ngeri ini berulang di tempat yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Khalil juga merayu agak kerajaan dapat memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, membabitkan agensi pakar di dalam bidang CBRNE (Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosive) agar tragedi ini dapat ditangani dengan lebih efektif dan tidak berulang.

Setakat ini katanya, DPPM telah mengarahkan Jabatan Amal Malaysia (JAM) turun ke lokasi bagi bersama-sama membantu agensi-agensi kerajaan dalam memberikan khidmat kepada masyarakat setempat.

“DPPM juga mengarahkan Dewan Pemuda PAS negeri dan kawasan untuk melakukan solat hajat malam ini dan selepas solat Jumaat esok, agar dimudahkan segala usaha menyelamat dan mengawal situasi di sana serta diberikan kesabaran dan kerahmatan kepada mangsa-mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Pelbagai pihak ketika ini turut menggesa Kerajaan Johor mengisytiharkan darurat di seluruh kawasan Pasir Gudang berikutan bilangan mangsa pencemaran bahan toksik semakin meningkat.

Dilaporkan, Pusat Nuklear, Biologi, Radiologi dan Kimia Tentera Darat (PNBRK TD) di bawah Skuadron Ke-12 Kor Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang berpangkalan di Markas 3 Divisyen, Kem Terendak, Melaka juga telah diaturgerakkan bagi membantu mangsa di Pasir Gudang.

Semalam, 111 sekolah di seluruh Pasir Gudang ditutup berkuatkuasa serta-merta susulan pencemaran bahan kimia di daerah itu sejak 7 Mac lalu.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam kenyataan medianya 10.30 malam tadi berkata, semua sekolah berkenaan ditutup bermula hari ini hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close