Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaIstimewaUtama

Boeing gantung armada 737 MAX

Lebih 370 pesawat MAX beroperasi di seluruh dunia sebelum nahas Ahad lalu

WASHINGTON, 7 Rejab 1440H, Khamis – Boeing, syarikat aeroangkasa terbesar dunia dan pengeluar utama jet komersial, pertahanan, ruang angkasa dan sistem keselamatan dan kini berdepan krisis terburuknya, mengumumkan penggantungan sementara semua armada 737 MAX di seluruh dunia.

Keputusan itu dibuat selepas, kerajaan Amerika Syarikat (AS) hari ini menggantung semua operasi Boeing 737 MAX susulan kebimbangan terhadap isu keselamatan pesawat itu – mencetuskan persoalan kenapa AS mengambil masa lama untuk berbuat demikian selepas nahas terbaharu membabitkan pesawat Ethiopian Airlines Ahad lalu.

AS menjadi antara negara terakhir berbuat demikian selepas dua nahas membabitkan Boeing 737 MAX 8, dikenali juga Boeing 737-8, dalam tempoh tidak sampai lima bulan mengorbankan 346 penumpang dan anak kapal, sedangkan negara lain mengambil tindakan segera selepas pesawat Ethiopian Airlines terhempas.

Oktober lalu, Beoing 737-8 milik syarikat penerbangan Lion Air Indonesia terhempas di laut selepas beberapa minit berlepas dari Jakarta, mengorbankan semua 189 penumpang dan anak kapal. Sehingga kini, punca nahas itu belum diketahui.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) dalam kenyataannya hari ini, mengarahkan penggantungan sementara semua Boeing 737 MAX yang dimiliki syarikat penerbangan dalam negara, selain melarang pesawat itu berada di ruang udara AS.

FAA berkata, keputusan itu berdasarkan penemuan bukti baharu di sekitar lokasi nahas Ethiopian Airlines tidak jauh dari Addis Ababa, selain data satelit yang baharu ditapis.

“FAA membuat keputusan ini hasil daripada data diperoleh dan bukti baharu yang dikumpul di lokasi nahas,” kata agensi itu.

“Kami menyokong langkah proaktif ini selepas banyak amaran dikeluarkan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg, menerusi kenyataan disiarkan dalam laman web syarikat itu.

Katanya, Boeing terus yakin dengan tahap keselamatan 737 MAX, tetapi menerima keputusan penggantungan semua armada pesawat itu, selepas berunding dengan FAA, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), dan pihak berkuasa penerbangan seluruh dunia.

Keputusan FAA itu dibuat sejurus selepas Presiden AS, Donald Trump mengeluarkan arahan kecemasan menggantung semua Boeing 737-8 dan 737-9 di negara itu.

Maklumat terbaharu yang dikumpul daripada data satelit dan sisa pesawat selepas nahas Ethiopian Airlines itu menunjukkan ada persamaan dengan apa yang berlaku ke atas Boeing 737-8 Lion Air Oktober lalu.

Kedua-dua pesawat itu terhempas beberapa minit selepas berlepas, dan menimbulkan persoalan terhadap sistem kawalan Boeing 737-8.

Bagaimanapun, FAA tidak pasti berapa lama penggantungan itu berkuat kuasa. Perisian baharu bagi dipasang pada Boeing 737-8 sejak nahas Lion Air pula mengambil masa berbulan untuk disiapkan.

Boeing menyandarkan model 737-8 dan 737-9 sebagai pesawat yang bakal menjadi saingan kepada pencabarnya Airbus SE. Versi baharu 737 itu menjadi jet terpantas dijual dalam sejarah Beoing.

Sementara itu, kotak hitam Ethiopian Airlines yang ditemui di lokasi nahas akan dihantar ke Eropah untuk dianalisis.

ET 302 menuju ke Nairobi dari Addis Ababa terhempas Ahad lalu, enam minit selepas berlepas.

Ketika Ethiopian Airlines tidak pasti kotak hitam itu akan dihantar ke negara mana, Biro Siasatan Nahas Udara Jerman (BFU), menolak untuk menganalisisnya.

“Ini adalah pesawat dengan kotak hitam baharu, dengan perisian baharu. Kami tidak boleh melakukannya,” kata jurucakap BFU, Germout Freitag. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close