Berita UtamaDuniaIstimewaUtama

Siapa gantung Boeing 737 MAX 8?

Banyak negara larang Boeing 737-8 lalui ruang udara mereka

BANGI, 6 Rejab 1440H, Rabu – Dari United Kingdom ke Australia, sejumlah negara dan syarikat penerbangan di seluruh dunia menggantung penggunaan pesawat Boeing 737 MAX 8 yang juga dikenali sebagai Boeing 737-8, susulan nahas di Ethiopia Ahad lalu.

Semua 157 penumpang dan anak kapal Ethiopian Airlines terbunuh apabila pesawat buatan syarikat pengeluar kapal terbang Amerika Syarikat (AS) itu terhempas, enam minit selepas berlepas dari Addis Ababa ke Nairobi.

Ia adalah nahas kedua membabitkan Boeing 737-8 dalam tempoh tidak sampai lima bulan, selepas pesawat model sama milik Lion Air Indonesia terhempas tidak jauh dari Jakarta, membunuh 189 penumpang dan anak kapal – mendorong pengawasan yang ketat ke atas sistem kawalan pesawat itu.

Pakar penerbangan kini bertungkus-lumus mencari punca nahas Ahad lalu, namun jawapannya mungkin mengambil masa berbulan-bulan, malah punca nahas Beoing 737-8 Lion Air juga belum dipastikan.

Ketidaktentuan mengenai keselamatan pesawat itu serta larangan dikenakan beberapa negara, turut menjejaskan pelabur, menyebabkan harga saham syarikat gergasi itu jatuh.

Walaupun, Boeing mempertahankan pesawatnya dan berkata mereka meletakkan keyakinan penuh terhadap keselamatan MAX, banyak negara mula menggantung penerbangan pesawat itu, malah ada yang mengharamkan Boeing 737-8 melalui ruang udara negara mereka.

Berikut adalah senarai negara dan syarikat penerbangan yang menggantung operasi Boeing 737-8 berkuat kuasa sehari selepas pesawat Ethiopian Airlines terhempas, Ahad lalu.

Kesatuan Eropah (EU)
Agensi Keselamatan Penerbangan EU (EASA) semalam menggantung semua pesawat Boeing 737-8 dan 737-8 berkuat kuasa serta-merta.

EASA juga menggantung semua pesawat komersial model sama digunakan syarikat negara ketiga, sama ada untuk memasuki atau keluar dari EU.

United Kingdom (UK)
Agensi Keselamatan Penerbangan Britain (BCAA) semalam melarang semua Boeing 737-8 daripada tiba, berlepas atau terbang di ruang udara negara itu, sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat ini, ada lima pesawat Boeing 737-8 yang berdaftar dan beroperasi di UK. Pesawat keenam dijangka memulakan operasi hujung minggu ini.

China
Pihak berkuasa China mengarahkan semua syarikat penerbangan domestiknya yang menggunakan Boeing 737-8 supaya menggantung perkhidmatan pesawat berkenaan sehingga ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Tiada bezanya kedua-dua insiden itu, kata pihak Pentadbiran Penerbangan Awam China (CCAA) yang merujuk nahas Ethiopian Airlines dan Lion Air, sambil menegaskan operasi Boeing 737-8 akan disambung selepas semua langkah keselamatan diambil.

China adalah pasaran yang sangat penting untuk syarikat pembuat pesawat AS, yang menyumbang kira-kira seperlima penghantaran model Boeing 737-8 ke seluruh dunia.

India
Kementerian Pengangkutan Awam India (IMCA) mengumumkan mereka mengambil keputusan menggantung khidmat Boeing 737-8 serta-merta semalam.

“Pesawat itu akan digantung sehingga langkah pengubahsuaian dan keselamatan diambil bagi memastikan operasinya tidak terjejas,” kata IMCA.

Singapura
Pihak Berkuasa Penerbangan Singapura (CAAS) pula memaklumkan, perkhidmatan pesawat model itu digantung sementara sama ada masuk atau keluar dari negara itu.

Dalam satu kenyataan semalam, CAAS berkata, tindakan itu diambil susulan dua nahas membabitkan Boeing 737-8 dalam tempoh tidak sampai lima bulan.

Australia
Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Australia (CASA) berkata, mereka menggantung sementara operasi Boeing 737-8 keluar atau masuk ke Australia.

Ketua Pegawai CASA, Shane Carmody berkata, langkah itu adalah yang terbaik bagi menjamin keselamatan penumpang, sementara menunggu maklumat lanjut berhubung langkah-langkah yang perlu dilakukan ke atas pesawat itu.

Bagaimanapun, tidak ada syarikat penerbangan Australia yang menggunakan Boeing 737-8, tetapi dua syarikat asing menggunakan model berkenaan di negara ini, kata CASA.

Perancis
Agensi Penerbangan Awam Perancis (DGAC) semalam mengumumkan mereka mengharamkan Boeing 737-8 melalui ruang udara negara itu.

“Melihat kepada keadaan nahas di Ethiopia, pihak berkuasa Perancis mengambil keputusan, sebagai langkah berjaga-jaga, untuk melarang semua pesawat komersial Boeing 737-8 masuk, keluar atau menggunakan ruang udara Perancis,” kata DGAC dalam satu kenyataan.

Jerman
Ruang udara Jerman ditutup kepada semua pesawat Boeing 737-8 susulan keprihatinan terhadap keselamatan orang ramai, kata Menteri Pengangkutan, Andreas Scheuer.

“Keselamatan mesti didahulukan. Saya sudah mengarahkan Jerman menutup ruang udaranya serta-merta kepada pesawat Boeing 737-8, dan akan berkuat kuasa sehingga masalah diselesaikan,” katanya.

Ireland
Pihak Berkuasa Penerbangan Ireland (IAA) juga menggantung sementara operasi semua pesawat Boeing 737 MAX masuk dan keluar dari negara itu.

“Keputusan diambil bagi memastikan keselamatan semua penumpang dan anak kapal, yang menjadi keutamaan IAA,” kata agensi itu.

Korea Selatan
Kementerian Pengangkutan telah menasihatkan Easter Jet, satu-satunya syarikat penerbangan di negara itu yang menggunakan Boeing 737-8, untuk menggantung operasi pesawat berkenaan.

Easter Jet, syarikat penerbangan tambang murah, bersetuju menggantung khidmat pesawat itu mulai hari ini.

Mongolia
Pihak berkuasa penerbangan Mongolia (MCAA) dalam kenyataan di Facebooknya mengarahkan syarikat penerbangan kebangsaannya – MIAT Mongolian Airlines – supaya menggantung operasi semua Boeing 737-8.

Indonesia
Semua 11 pesawat Boeing 737-8 yang digunakan syarikat penerbangan di negara itu digantung serta-merta.

Pemeriksaan ke atas semua pesawat itu bermula semalam, dan penggantungannya kekal sehingga langkah keselamatan diambil.

Punca nahas pesawat Boeing 737-8 milik Lion Air masih belum diketahui.

Malaysia
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung operasi penerbangan pesawat Boeing 737 MAX 8 (Boeing 737-8) ke dan dari Malaysia serta transit di negara ini berkuat kuasa serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Ahmad Nizar Zolfakar berkata, tindakan itu adalah susulan daripada dua tragedi membabitkan pesawat jenis sama dalam tempoh kurang lima bulan.

CAAM turut mengesahkan tiada mana-mana syarikat penerbangan Malaysia menggunakan pesawat Boeing 737-8 dalam operasi mereka, katanya dalam kenyataan semalam.

Oman
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Oman mengumumkan penggantungan semua pesawat Boeing 737-8 berkuat kuasa semalam sehingga ke tarikh yang belum ditetapkan.

Ethiopian Airlines
Selepas nahas membabitkan pesawatnya Ahad lalu, syarikat penerbangan itu menggantung operasi semua Boeing 737-8 sehingga notis pemberitahuan selanjutnya.

“Walaupun kami belum mengetahui punca nahas Ahad lalu, kami mengambil keputusan untuk menggantung operasi semua pesawat jenis itu sebagai langkah keselamatan,” kata syarikat itu.

Norwegian Air
Syarikat penerbangan Norway itu mengumumkan mereka menggantung operasi semua Boeing 737-8, susulan langkah diambil pihak berkuasa penerbangan beberapa negara lain.

“Norwegian Air tidak akan menggunakan pesawat jenis itu sehingga ke satu tarikh yang belum ditetapkan,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Comair
Syarikat penerbangan Afrika Selatan, Comair, juga membuat keputusan menarik keluar Boeing 737-8 daripada jadual penerbangannya.

“Keselamatan dan keyakinan pelanggan kami serta kru penerbangan sentiasa menjadi keutamaan,” kata Pengarah Eksekutif Comair, Wrenelle Stander.

Gol Linhas Aereas
Syarikat penerbangan Brazil itu dalam satu kenyataan berkata, mereka menggantung sementara operasi komersial pesawat berkenaan.

Aeromexico
Syarikat penerbangan Mexico itu mempunyai enam Boeing 737-8 dalam angkatan pesawatnya.

Mengumumkannya semalam, Aeromexico berkata, mereka telah menggantung semua operasi pesawat berkenaan demi keselamatan orang ramai.

Aerolineas Argentinas
Syarikat penerbangan kebangsaan Argentina itu berkata, mereka menggantung operasi lima Boeing 737-8 sementara menunggu keputusan siasatan nahas pesawat Ethiopian Airlines.

Cayman Airways
Syarikat penerbangan di kepulauan British itu mengumumkan mereka menggantung operasi dua Boeing 737-8 susulan nahas di Ethiopia. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close