Berita UtamaDuniaUtama

Pelarian Syria perlukan AS$207 juta tahun ini: IOM

Dana diguna untuk sara hampir 1.8 juta pelarian di Syria, negara jiran

ANKARA, 6 Rejab 1440H, Rabu – Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) semalam merayu masyarakat antarabangsa menyumbang dana AS$207 juta supaya bantuan kemanusiaan kepada pelarian di Syria dan seluruh rantau yang terjejas dengan konflik memasuki tahun kesembilannya, diteruskan.

IOM berkata, dana itu akan membolehkan mereka menyara lebih 1.8 juta pelarian di Syria dan negara-negara jiran yang lain tahun ini, melalui Rancangan Misi Kemanusiaan untuk Syria dan Pelarian Serantau dan Rizab Ketahanan Serantau Syria.

Selain itu, Pengarah Operasi dan Kecemasan IOM, Mohammed Abdiker berkata, dana itu akan diguna untuk menyediakan khemah, pengurusan tapak, air dan sanitasi, perlindungan dan juga sokongan psikososial serta barangan bantuan asas seperti selimut, set dapur, lampu solar dan barangan lain.

“IOM sangat tegas dalam komitmennya untuk membantu orang awam Syria yang masih berjuang untuk mengatasi kesan konflik itu,” katanya seperti dilapor agensi berita Anadolu, semalam.

Meskipun prospek pemulihan jangka pendek semakin giat dilakukan, masyarakat antarabangsa harus berterusan memberi tumpuan untuk menyelamatkan nyawa dan menyokong negara-negara tuan rumah yang menawarkan perkhidmatan awam, perlindungan dan keselamatan dalam tempoh lebih lapan tahun ini.

Katanya, mengikut data terkini IOM, kira-kira 5.7 juta orang masih menjadi pelarian Syria, bagaimanapun hanya 5.6 juta pelarian Syria yang berdaftar, termasuk 2.6 juta kanak-kanak.

Manakala, hampir 1.1 juta orang masih tinggal di kawasan yang sukar dijangkau Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Walaupun hampir 1.3 juta orang Syria telah berpindah dan pulang ke rumah pada 2018, tetapi dianggarkan kira-kira 1.4 juta orang baru pula telah menjadi pelarian pada waktu yang sama,” kata IOM.

Pada tahun 2018, IOM telah membantu hampir 650,000 penduduk Syria dan penduduk di negara-negara tuan rumah seperti Jordan, Mesir, Lubnan, Turki dan Iraq. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close