Berita Utama

Bahasa Melayu terus didaulatkan selepas 1970-an

Peranan bahasa nasional bukan semata jati diri, juga pembangunan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Rabiulawal 1444H, Rabu – Bahasa nasional bukan sekadar untuk jati diri atau penyatuan bagi negara-negara pelbagai etnik, sebaliknya turut berperanan membangunkan ekonomi dan industri negara.

Profesor Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, negara menghadap tempoh reformasi budaya pada tahun 1970-an, di mana Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan bermula.

Waktu itulah universiti kita UM (Universiti Malaya) dan kemudian UPM (Universiti Putra Malaysia) hingga hari ini, dan sedar tidak sedar sudah 40 tahun menjadikan universiti ini wujud daripada satu kepada 20, katanya.

“Ini adalah pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara dan pengantara kita.

“Kita harus ingat bahawa cultural reformation pada waktu 1971 iaitu zaman Tun Abdul Razak yang begitu tegas mewujudkan, kalau tidak kita masih dalam bahasa Inggeris.

“Hari ini, bahasa kita melahirkan jurutera, pakar sains komputer dan pergi ke angkasa lepas semuanya adalah pendidikan dalam bahasa Melayu, tiada kelemahan yang kita dapati di kalangan generasi muda selepas tahun 1970-an,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan kertas kerja pada Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Selain itu, Prof Wan Hashim berkata, Jerman pada Abad Ke-14 dikenali sebagai sebuah negara yang paling mundur di Eropah berbanding Perancis dan England, oleh kerana bahasanya.

Melalui teori neuro sosio-linguistik, beliau berkata, seorang cendikiawan Jerman, Gottfried Wilhelm Leibnig mengemukakan bahawa Jerman akan turut berkembang maju hanya dengan membina dan mengembangkan bahasa negara itu terutama untuk tujuan pendidikan awal.

“Dia membuat satu teori bahawa bahasa Jerman yang mundur itu membuatkan negara dan masyarakatnya mundur. Ada segelintir orang Jerman yang ghairah dengan bahasa Perancis dan tidak mempedulikan bahasa Jerman itu sendiri.

“Tetapi, dengan semangat nasionalis, akhirnya Leibnig dapat meyakinkan bahawa orang Jerman dapat maju dengan memupuk bahasanya sendiri, dan hasilnya 50 ke 100 tahun ini, Jerman sudah maju ke hadapan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button