Berita UtamaUtama

Berdepan tindakan kerana amal konsep ‘PM tepi’

Peniaga perlu letak maklumat jelas mengenai produk, perkhidmatan

SHAH ALAM, 6 Rejab 1440H, Rabu – Akibat mengamalkan konsep ‘PM tepi’ bagi urusan jualan perabot dalam talian (online), seorang pengarah syarikat menjual perabot bakal dikenakan tindakan di bawah Seksyen 145 Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azman Adam berkata, ia berikutan konsep ‘PM tepi’ bagi perniagaan dalam talian merupakan satu kesalahan kerana penjual seharusnya mempamerkan maklumat lengkap mengenai produk atau perkhidmatan yang disediakannya.

“Atas aduan awam, pihak KPDNHEP Selangor bertindak menyerbu syarikat berkenaan kira-kira 2.25 petang di Seri Kembangan, semalam.

“Kita berjumpa dengan pengarah syarikat itu dan beliau mengakui perniagaan yang dijalankan sejak Ogos tahun lalu, tidak mempamerkan maklumat sepatutnya seperti harga serta spesifikasi barangan yang dijualnya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan lelaki berusia 41 tahun itu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 (syarikat) dan RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya (individu) di bawah seksyen tersebut.

Mengulas lanjut Azman berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 7,729 aduan diterima atas pelbagai kesalahan yang dilakukan peniaga dan 1,195 daripada aduan tersebut membabitkan pengguna yang membeli barangan dalam talian.

“Bagi tahun ini pula, sebanyak 194 aduan sudah diterima membabitkan masalah pembelian secara dalam talian antaranya penjual tidak pamerkan harga barang, pembeli lewat menerima barang dan barang yang diterima tidak seperti yang diiklankan.

“Penjual atau peniaga juga perlu meletakkan maklumat yang jelas mengenai produk serta perkhidmatan yang ditawarkan agar hak pengguna tidak disalahguna,” katanya.

Menurut Azman, peniaga perlu mempamerkan nama syarikat (pendaftaran), alamat emel atau nombor telefon yang boleh dihubungi oleh pengguna dan mempamerkan secara ringkas ciri utama barangan mereka.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang strategi yang digunakan oleh peniaga untuk menarik pembeli, namun menegaskan perlindungan terhadap hak pengguna tidak boleh diketepikan.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close