Berita UtamaIstimewaUtama

Pencemaran kimia: 13 sekolah di Pasir Gudang tutup mulai esok

Perisytiharan amaran ‘Red Alert’ tular di laman Facebook tidak benar

JOHOR BAHRU, 5 Rejab 1440H, Selasa – Tiga belas sekolah di sekitar Pasir Gudang diarahkan tutup, mulai esok sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan berikutan insiden pencemaran susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Khamis lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, 13 sekolah berkenaan, termasuk empat yang telah ditutup sebelum ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Puteh, SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri Resort.

Katanya, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Pengaktifan Jawatankuasa Kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, yang diadakan di sini, petang tadi.

“Mesyuarat bersetuju supaya Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor untuk menutup beberapa sekolah sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Selain empat sekolah tadi, turut ditutup SK Pasir Putih, SK Kota Masai 2, SMK Kota Masai 2, SK Kota Masai 3, SMK Kota Masai, SK Kota Masai, SK Perigi Acheh, Sekolah Agama Kampung Pasir Putih dan Sekolah Agama Taman Pasir Putih.

Dr Sahruddin berkata, kerajaan Negeri Johor melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa itu yang bertujuan menyelaras dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku.

Selain penutupan sekolah berkenaan, Mesyuarat Pengaktifan Jawatankuasa Kerja itu, hari ini turut memutuskan bersetuju melantik kontraktor yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim sepanjang 1.5 km yang akan di selaraskan Jabatan Pengairan dan Saliran serta JAS Johor.

Beliau berkata, ia adalah lanjutan daripada kerja-kerja pembersihan yang telah dilakukan pada 7 dan 8 Mac lalu.

Katanya, orang awam dinasihati supaya tidak memasuki kawasan di lokasi tempat kerja-kerja pembersihan yang akan dilaksanakan itu.

“Kerajaan Negeri Johor juga menekankan supaya orang ramai mengikut saranan Jabatan Kesihatan Negeri supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mempunyai gejala pedih mata, sakit dada dan sesak nafas dan disyaki terhidu dan terdedah kepada bahan kimia tersebut,” katanya.

Dr Sahruddin berkata, orang ramai juga dinasihati menggunakan air terawat untuk aktiviti harian, kerap mandi dan pakaian yang digunakan hendaklah dibasuh berasingan setiap kali keluar dari rumah bagi mengelakkan kemungkinan sisa toksik terkena di anggota badan, mengelakkan diri dari memasuki dan berada di kawasan kejadian serta dinasihatkan mengelak melakukan sebarang aktiviti, termasuk aktiviti riadah berdekatan kawasan Sungai Kim Kim.

Orang ramai juga diminta mengikuti maklumat terkini kejadian berkenaan dari sumber maklumat yang sahih dan mematuhi arahan pihak berkuasa, katanya.

Pada masa sama, beliau menafikan mengenai perisytiharan amaran ‘Red Alert’ yang tular di laman Facebook hari ini, dan dikatakan dikeluarkan oleh pihak pengurusan hospital berikutan kes pencemaran kimia di Pasir Gudang.

“Tidak betul,” katanya ringkas mengenai amaran itu.

Kenyataan tular itu antara lain mendakwa pengarah hospital mengisytiharkan amaran ‘Red Alert’ kerana pencemaran udara yang tersebar di Pasir Gudang.

Ia turut mendakwa angin yang bertiup kencang menyebarkan toksik dan menyebabkan ramai penduduk di Seri Alam dan Plentong dimasukkan ke hospital.

Kenyataan berkenaan turut menasihatkan orang ramai supaya memakai topeng penutup mulut.

Khamis lepas, pembuangan sisa kimia di sungai berkenaan mengakibatkan tiga insiden di empat sekolah di Pasir Gudang, dengan satu terbaru hari ini, dipercayai kesan pencemaran dari bahan sisa berkenaan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close