Berita Utama

Pemuda ISMA teguh bersama PERZIM

Hantar kertas cadangan kembalikan nama asal Bukit Melaka

BANGI, 27 Zulhijjah 1441H, Isnin – Satu kertas cadangan lengkap dengan fakta sejarah awal Bukit St Paul akan dikemukakan, dalam usaha menukar semula nama asalnya kepada Bukit Melaka.

Kertas cadangan berkenaan akan dikemukakan oleh Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Pertubuhan- Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).

Perkara itu telah diputuskan dalam pertemuan bersama PERZIM di Kompleks Warisan Melaka, hari ini.

Ketua Gerakan Massa Pemuda ISMA, Soufi Anual berkata, pihaknya meletakkan satu penanda aras baharu dalam usaha mengembalikan nama asal Bukit Melaka yang telah ditukar oleh Portugis kepada Bukit St Paul ketika menjajah Kota Melaka.

“Pemuda ISMA juga akan terus menggerakkan usaha mengumpul tandatangan persetujuan untuk mengembalikan nama tersebut yang kini sudah berjaya mengumpul sekitar 16,000 tandatangan warganegara yang patriotik dan bersetuju dengan tindakan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, ISMA Melaka diketuai Ketua Perhubungan Negeri ISMA Melaka, Ustaz Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim dan Yang Dipertua ISMA Melaka Tengah, Dr Khair Razlan Othman menyerahkan petisyen sokongan kepada PERZIM.

Petisyen yang mengumpul 16,388 tandatangan itu adalah tanda sokongan rakyat Malaysia terhadap cadangan PERZIM menukar semula nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka, bagi mengembalikan nilai sejarah bukit berkenaan.

Oleh itu, Saofi mempelawa mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan lain untuk bersama Pemuda ISMA dalam merealisasikan usaha berkenaan.

“Mana-mana NGO, pertubuhan atau persatuan yang ada baik di Melaka mahupun di luar Melaka untuk sama-sama mengembleng tenaga bagi memastikan maruah tanah air yang dicalar Portugis satu ketika dahulu dapat ditebus kembali dengan kembalinya nama tempat bersejarah ini kepada Bukit Melaka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button