Berita Utama

‘Saya tak suka sistem banyak red-tape’

Amal prinsip kerja integriti supaya pembangunan ekonomi dicapai

KUALA LUMPUR, 16 Syaaban 1445H, Isnin – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini mahu kecekapan proses kerja dan tadbir urus setiap agensi kerajaan sentiasa dinilai dan ditingkatkan, bagi memastikan tiada red-tape atau karenah birokrasi dalam sistem penyampaian kerajaan.

“Saya tidak suka dengan sistem yang banyak red-tape,” tegas Seri Paduka Baginda ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim bertitah jentera kerajaan diingatkan agar meningkatkan kecekapan dan mengamal prinsip kerja berintegriti, supaya pembangunan ekonomi dapat dicapai dengan jayanya.

“Agensi penguatkuasaan juga hendaklah menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat, supaya sesuatu kes itu dapat diselesaikan dengan segera.

“Semua kes yang telah dibawa ke mahkamah juga mestilah segera diadili, supaya kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara sentiasa dipelihara,” titah Seri Paduka Baginda pada istiadat yang turut dihadiri Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan perasaan sukacita Seri Paduka Baginda atas kedudukan Malaysia di tangga ke-29 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2023, dalam aspek kecekapan kerajaan.

Seri Paduka Baginda bertitah mengalu-alukan usaha berterusan, bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan perkhidmatan agensi kerajaan.

Dalam aspek keselamatan makanan negara, Yang di-Pertuan Agong bertitah mahu kerajaan meningkatkan usaha dan galakan untuk pengeluaran barangan dalam negara, terutamanya bekalan makanan harian dan bahan mentah.

“Oleh itu, usaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan hendaklah dibuat lebih tersusun, agar tahap jaminan makanan negara mencapai sasarannya.

“Pada masa sama, program membantu petani, penternak dan nelayan, ditingkatkan agar penghasilan dan pendapatan mereka berada pada tahap tinggi, titah Seri Paduka Baginda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button