ArtikelBerita UtamaUtama

Konflik Kashmir: Usah pandang Pakistan dengan sebelah mata

Islamabad peroleh tiga kemenangan dalam tempoh sehari

1. Terkini dilaporkan bahawa Pakistan telah menembak jatuh dua jet pejuang India MIG21 Bison yang menceroboh ruang udara mereka buat pertama kalinya sejak Perang Pakistan-India 1971.

2. Langkah berani Pakistan ini sememangnya tepat kerana India telah bertindak di luar batasan dengan bukan sahaja mencerobohi ruang udara Pakistan, bahkan melakukan empat pengeboman besar-besaran dengan saiz 1,000 kilogram bom (SPICE 2000 buatan Israel yang juga digunakan di Syria) di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan, iaitu di kampung Jaba, 10 kilometer dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa sejak Selasa, 26 Februari.

3. Tidak cukup dengan menceroboh ruang udara Pakistan, India turut melakukan serangan darat dan dengan tragisnya seorang wanita dengan anak lelaki dan anak perempuannya telah terbunuh di daerah Kashmir yang ditadbir Pakistan iaitu di Kotli.

4. Mengapa India sesuka hati menceroboh kedaulatan Pakistan? Mengapa buat pertama kali sejak perang Pakistan-India 1971, India menceroboh dan menyerang Pakistan sehingga memaksa satu-satunya kuasa nuklear Islam itu bertindak balas?

5. Segala-galanya bermula pada 14 Februari lalu apabila terjadinya satu serangan bunuh diri yang mengorbankan 42 anggota pasukan separa tentera India di wilayah Pulwama, iaitu di bandar Kashmir yang dikuasai India.

6. Tidak semena-mena, India menuduh Pakistan sebagai bertanggungjawab ‘mengawal’ serangan tersebut dengan membantu dan memberi laluan kepada kumpulan bersenjata, Jaish-e-Muhammad. Islamabad dan angkatan tentera Pakistan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan India ini.

7. Sebaliknya, Perdana Menteri India, Narendra Modi – yang akan menghadapi pilihan raya umum India pada April dan Mei 2019 ini – berterusan mengambil langkah populis dengan menceroboh Garis Kawalan (Line of Control – LoC) yang memisahkan antara wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan dengan wilayah Kashmir yang dikawal India.

8. Namun, Pakistan jelas berusaha keras untuk mendesak India agar kembali ke meja rundingan dan tidak meneruskan pencerobohan ‘populis’ menjelang pilihan raya umum India ke atas Pakistan.

9. Hal ini berdasarkan kenyataan rasmi kerajaan Pakistan bahawa satu-satunya tujuan mereka menembak jatuh dua jet penceroboh India adalah untuk menegakkan hak kedaulatan dan keupayaan mereka untuk bertindak balas selepas amaran diberi:

“Sole purpose being to demonstrate our right, will and capability for self-defense. We have no intention of escalation, but are fully prepared to do so if forced into that paradigm. That is why we undertook the action with clear warning and in broad daylight”.

10. India ternyata bermasalah apabila Menteri Luarnya, Sushma Swaraj berjanji bahawa India tidak akan meningkatkan ketegangan dengan Pakistan. Sebaliknya, dua jet pejuang India MIG21 Bison jelas sekali lagi bertindak menceroboh ruang udara Pakistan pada hari yang sama lalu ditembak jatuh Pakistan.

11. Mejar Jeneral Asif Ghafoor, jurucakap tentera Pakistan mengumumkan bahawa sebuah jet MIG21 Bison India yang ditembak, telah jatuh di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan, manakala satu lagi di wilayah Kashmir yang dikawal India.

Beliau menegaskan bahawa dua juruterbang jet India telah ditahan dengan salah seorang daripada mereka kini berada di hospital. Laporan dari Pakistan menunjukkan video salah seorang juruterbang India yang ditahan dikenali sebagai Komander Abhinandan.

12. India yang menggunakan alasan menceroboh wilayah Pakistan bagi tujuan memerangi kumpulan bersenjata ‘Jaish-e-Muhammad’ kini menerima tamparan hebat. Sebarang taktik untuk memperalatkan situasi ini menjelang pilihan raya umum India, April ini bukan sahaja menyaksikan jet mereka ditembak jatuh, malah jururterbang mereka juga telah ditahan Pakistan – pastinya menambah beban kepada parti kerajaan BJP untuk berhadapan dengan Parti Kongres pimpinan pewaris keluarga berpengaruh Nehru-Gandhi iaitu Rahul Gandhi.

13. Sehingga kini Perdana Menteri India terdiam dengan tindak balas keras Pakistan. Sebaliknya, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan tampil dengan kenyataan terbuka yang cukup bertanggungjawab. Beliau memberi amaran kepada India betapa banyak perang besar yang meletus semata-mata kerana kesilapan percaturan:

“All big wars are the result of miscalculations. Hitler never thought the war would go on for so many years. Americans never imagined that wars in Vietnam or Afghanistan would extend into decades”.

14. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Imran Khan juga cukup rasional. Dengan senjata nuklear yang dimiliki Pakistan dan India, mereka sama sekali tidak boleh melakukan kesilapan percaturan:

“My question is, with the kind of weapons that we both have, can we afford a miscalculation? If we let it happen, it will remain neither in my control nor [Indian PM] Narendra Modi’s”.

15. Apa yang pasti, Pakistan telah memperoleh tiga kemenangan dalam masa satu hari apabila menembak jatuh jet pejuang India.

Pertama, dari segi ketenteraan mereka berjaya membuktikan bahawa kekuatan aset mereka tidak boleh dipandang enteng.
Kedua, dari segi politik mereka berjaya menaikkan keyakinan rakyat dengan iltizam politik serta keberanian untuk bertindak balas dalam melindungi kedaulatan daripada pencerobohan India.

Ketiga, dari segi imej diplomasi di pentas antarabangsa, tindakan segera Imran Khan yang memberi tekanan halus serta tidak mengumumkan perisytiharan perang dengan India menunjukkan bahawa beliau ialah seorang pemimpin yang berjiwa besar – jauh berbanding PM India yang terdiam seribu bahasa.

Tahniah Pakistan.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net. Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Facebook beliau.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close