Berita UtamaUtama

Hina Nabi: Kenapa nak buat perhimpunan?, kata Mujahid

'Orang yang uar-uar adalah orang yang mengaji agama. Pakai jubah. Cakap berdegar-degar mengenai Islam tapi sebar fitnah'

Oleh Siti Fatimah Ishak dan Ainaa Syaza Khusli

BANGI, 23 Jamadilakhir 1440H, Khamis – “Kita syaki mereka sengaja wujudkan kebencian. Kita dengar mereka nak buat perhimpunan besar-besaran. Saya tak faham kenapa mereka nak berhimpun bantah isu hina nabi, sedangkan kita sudah ambil tindakan.

“Sebagai umat Islam mana ada pihak boleh beri ruang kepada mereka yang hina Islam. Saya khuatir tindakan Pemuda PAS dan UMNO lebih kepada guna sentimen itu kepada kepentingan politik. Sebab jika mereka tengok tindakan pantas kita, mereka patut sokong, kenapa nak berhimpun lagi.”

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pondok Peringkat Kebangsaan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada satu perhimpunan besar-besaran yang bakal diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Negara, esok, bagi menuntut kerajaan bertindak tegas terhadap penghina-penghina agama Islam yang semakin berleluasa sekarang.

Perhimpunan itu juga diadakan sebagai susulan tindakan beberapa individu tidak bertanggungjawab yang menghina Nabi Muhammad ‎ﷺ secara terbuka, termasuk warga emas, Foo Sing Wai.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Mujahid berpendapat perhimpunan itu lebih kepada kepentingan politik, berikutan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih sekarang ini.

“Atau mungkin saja nak gembar-gemburkan konon mereka lebih mempertahankan Nabi daripada orang lain. Ini yang dikatakan mereka menunggang agama untuk kepentingan politik,” katanya.

Beliau kesal dengan tuduhan yang semakin banyak di media sosial, kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bertindak terhadap individu yang menghina Rasulullah ﷺ.

Beliau berkata, ada pihak cuba menyebarkan kepalsuan dan fitnah bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan, walaupun hakikatnya lelaki berbangsa Cina berkenaan sudah didakwa.

Mujahid turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadi penyambung lidah palsu yang kononnya untuk memperjuangkan agama Islam.

Sementara itu, ketika berucap di hadapan lebih 200 guru dan pelajar pondok, beliau turut kecewa apabila wujud individu beragama menuduh bahawa Peguam Negara membebaskan individu menghina Rasulullah ﷺ.

“Orang yang uar-uar adalah orang yang mengaji agama. Pakai jubah. Cakap berdegar-degar mengenai Islam, tapi menyebarkan fitnah,” katanya.

 

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close