Uncategorized

Siap sedia hadapi cuaca panas

Minum air secukupnya dan hadkan aktiviti di luar: KKM

BANGI, 22 Jamadilakhir 1440H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai supaya bersiap sedia dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menghadapi cuaca panas, yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh sehingga menyebabkan cecair dalam tubuh berkurangan, sekali gus berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah sewajarnya, bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku.

“Minum air secukupnya dan minumlah air yang telah dimasak. Hadkan aktiviti di luar dan jika tidak dapat dielakkan, pakai topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas.

“Pakai pakaian yang rinan dan elakkan pakaian tebal dan ketat. Sebolehnya berada di dalam rumah atau bangunan. Tinggallah dalam rumah yang mempunyai pengudaraan yang cukup atau kelengkapan penghawa dingin (sekiranya berkemampuan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang mengalami penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru yang kronik supaya segera ke klinik jika keadaan bertambah teruk.

“Perokok, pengguna rokok elektronik dan vapers juga dinasihatkan supaya berhenti merokok dan berhenti menggunakan rokok elektronik dan vape,” katanya.

Isnin lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa negara kini sedang berada pada penghujung Monsun Timur Laut dijangka sehingga akhir bulan Mac.

Dalam tempoh itu, ketiadaan hujan atau taburan hujan yang rendah untuk jangka masa lama boleh menyebabkan keadaan cuaca panas.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close