Berita Utama

Kes tinggi tapi SOP longgar, kepercayaan rakyat makin luntur?

Jangan jadikan vaksin jalan untuk landai lekuk jangkitan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa supaya menilai semula keperluan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain menyelaras prosedur operasi standard (SOP) secara menyeluruh.

Ini kerana, penetapan sesuatu SOP sepatutnya terpakai kepada semua peringkat masyarakat tanpa mengira pangkat atau kedudukan, melainkan terdapat hujah saintifik serta penilaian yang munasabah.

Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan berkata, perubahan SOP – yang kelihatan lebih longgar – tatkala wujud desakan pihak atau kumpulan berkepentingan, dilihat mengelirukan orang ramai.

“Pada asasnya, ramai yang inginkan agar kes aktif menurun dengan diperketatkan SOP untuk suatu masa tertentu, walaupun PKP 2.0 diterima dengan berat hati oleh kebanyakan lapisan masyarakat.

“Mereka melihat keberkesanan yang berlaku pada PKP terdahulu iaitu Mac tahun lalu, dan yakin dengan tindakan strategi yang dilaksanakan kerajaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Apabila banyak kelonggaran pada pelaksanaan PKP kali ini, Dr Ahmad Muslim menyifatkan kepercayaan rakyat menjadi semakin luntur tatkala SOP yang dikuatkuasakan berbeza untuk golongan atau perayaan tertentu.

“Timbul banyak persoalan apabila pelaksanaan SOP tidak menyeluruh dan sentiasa berubah serta tiada hujah saintifik yang menyokong perubahan SOP.

“Kenapa semakin banyak industri dan perniagaan yang dibenarkan beroperasi dalam keadaan banyak kluster baharu timbul membabitkan industri tersebut?,” soalnya.

Beliau berkata, perbezaan pelaksanaan SOP sebenarnya akan melunturkan kepercayaan rakyat terhadap strategi kerajaan untuk melandaikan lekuk jangkitan pandemik ini.

“Kenapa ada majlis atau perkumpulan yang tidak bermanfaat dibenarkan (walaupun dikatakan mengikut SOP) sedangkan masjid dan surau yang ketat SOP ditutup rapat di kebanyakan tempat?

“Kenapa ahli politik yang pulang daripada luar negara dibenarkan kuarantin paling minimum tiga hari sedangkan orang lain diletakkan 10 hingga 14 hari,” katanya.

Dr Ahmad Muslim berkata, keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan keletihan dalam kalangan masyarakat untuk terus mematuhi SOP.

“Jadi sebenarnya apa yang ingin kita capai dalam lanjutan PKP dan perubahan SOP yang longgar?

“Sudah pasti kita tidak mengharapkan kehadiran vaksin akan menjadi penyelesaian terdekat untuk melandaikan lekuk jangkitan COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan keseluruhan baki perniagaan dalam sektor peruncitan kembali beroperasi dalam tempoh PKP berkuat kuasa 10 Februari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Kabinet bagi memastikan kelangsungan ekonomi peniaga kecil.

Antara baki sektor peruncitan yang dibenarkan kembali beroperasi adalah kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kasut, barangan dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, kedai bunga atau nurseri, kraftangan dan cenderahati serta kedai antik.

Selain itu, kedai alat permainan, permaidani, kedai kandungan kreatif atau peralatan industri kreatif, barangan aktiviti luar, peralatan sukan, barangan rumah dan peralatan dapur, kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, kedai tembakau, aksesori kereta dan Ar-Rahnu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button