Berita UtamaUtama

Rumah dibina bukan untuk manusia, kata Ridhuan Tee

Tiada lagi rumah tentera 2 bilik, rumah rakyat 1 bilik macam mana?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Jamadilakhir 1440H, Selasa – “Tiada lagi rumah tentera dua bilik, rumah rakyat satu bilik macam mana? Bila mahu ditambah menjadi dua atau tiga bilik?,” soal pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang mengumumkan bahawa rumah anggota tentera yang sebelum ini hanya mempunyai dua bilik, akan dinaik taraf kepada tiga bilik.

Katanya, untuk Belanjawan 2019, kementeriannya menerima peruntukan RM120 juta untuk tujuan penyelenggaran rumah tentera, termasuk peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta untuk menaik taraf.

Susulan itu, Dr Ridhuan Tee mempersoalkan mengapa kerajaan hanya melabur untuk tentera, dan bukan rakyat secara umumnya.

Walhal, katanya, masih ramai lagi rakyat yang mendiami rumah satu bilik, namun tidak diberi perhatian oleh kerajaan.

“Saya tidak dapat bayangkan sehingga hari ini masih ada lagi rumah satu bilik yang masih diduduki oleh khalayak atau rakyat marhaen. Kita terlalu menumpukan kepada tentera, rakyat marhaen macam mana?

“Pergilah melawat ke Sentul, Keramat dan lain-lain tempat lagi, masih ada flat satu bilik diduduki oleh ibu bapa yang mempunyai ramai anak.

“Kenapa kita hanya melabur untuk tentera, bukan rakyat secara umumnya. Tentera dapat rumah dua bilik, boleh dikira masih beruntung. Ribuan lagi flat satu bilik masih banyak di kota raya. Justeru, saya mohon, kerajaan hari ini melihat secara keseluruhan. Bukan hanya anggota tentera,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Katanya, ramai yang tidak sedar salah satu sebab masalah sosial melanda remaja sekarang ialah kerana rumah yang mereka huni bukan untuk manusia.

“Bagaimanakah anak-anak mahu duduk di rumah, jika rumah yang diduduki boleh berlanggar bahu apabila berselisih. Suasana di rumah tidak mencerminkan rumahku syurgaku. Akhirnya, anak-anak lebih suka melapak di luar daripada duduk di rumah.

“Pergilah juga melihat rumah flat tiga bilik, ruangnya terlalu sempit. Bandingkan dengan rumah flat di Singapura, walaupun namanya flat tetapi standard adalah seperti pangsapuri mewah. Pergi lihat Singapura bagaimana mereka melabur untuk manusia bagi membangunkan negara,” katanya.

Justeru, Dr Ridhuan berkata, kerajaan perlu melabur untuk rakyat secara keseluruhan bukan hanya kepada kakitangan tertentu sahaja.

Ini kerana, katanya, setiap warganegara ada sumbangannya kepada negara bukan hanya anggota tertentu sahaja.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close