Berita UtamaUtama

VIDEO | Pemandu lori minyak maut terbakar

Lori tangki berisi diesel langgar belakang treler bawa muatan besi

SLIM RIVER, 18 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Seorang pemandu lori tangki minyak maut dalam kebakaran selepas kenderaannya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 372 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang di sini pagi ini.

Kemalangan kira-kira pukul 8 pagi itu melibatkan tiga lori iaitu dua lori treler membawa muatan besi dan sebuah lori tangki berisi minyak diesel.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supritenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa yang belum diketahui identiti itu maut terbakar di tempat kejadian setelah melanggar belakang lori membawa muatan besi itu di lorong kecemasan.

“Butiran mangsa akan disemak melalui alamat syarikat yang diperoleh dan kami akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihak PLUS bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[Video] Pemandu lori rentung dalam kemalangan babitkan lori barangan runcit & lori tangki minyak di KM 372 arah utara, Lebuhraya PLUS selepas R&R Behrang

Posted by Front Desk on Jumaat, 22 Februari 2019

Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah lori dipandu Mohamad Jurid Bakar, 45, berasal dari Pekan Pahang telah memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana brek angin mengalami masalah.

“Sebuah lagi lori dipandu Kamarul Azwar Abu Bakar, 34, dari Jitra Kedah turut berhenti di lorong kecemasan untuk memberi bantuan berikutan mereka daripada syarikat yang sama.

“Namun selesai membantu, ketika dalam kenderaan, Kamarul Azwar telah melihat sebuah lori tangki dari arah tengah terus bergerak ke arahnya lalu melanggar belakang lorinya serta terlanggar belakang lori yang dibantunya tadi,” katanya.

Akibat rempuhan itu, Wan Kamarul Azran berkata, lori tangki yang membawa muatan diesel telah terbakar dan merebak ke lori hadapannya.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Slim River,” katanya.

Jelas beliau lagi, ekoran kejadian itu berlaku kesesakan lalu lintas sepanjang 4 kilometer.

Sementara itu, menurut kenyataan jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kira-kira 8.51 pagi tadi dan tiga jentera dikejarkan ke lokasi itu.

Operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan dibantu BBP Tapah dan BBP Bidor.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close