Berita UtamaDunia

Hamas bebaskan tahanan asing masa terdekat

Gaza menjadi 'tanah perkuburan' bagi tentera Israel

GAZA, 17 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Sayap bersenjata Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) akan membebaskan beberapa tebusan asing dari Gaza dalam tempoh terdekat.

Jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Ubaida memaklumkan keputusan itu menerusi ucapan video pada Selasa, di mana beliau berikrar untuk menjadikan Gaza sebagai ‘tanah perkuburan’ bagi tentera Israel di tengah-tengah peningkatan operasi darat.

“Kami telah memaklumkan pengantara bahawa kami akan membebaskan sejumlah tebusan asing dalam tempoh terdekat,” katanya.

Lebih 230 orang, termasuk tentera Israel, orang awam, serta warga asing dari pelbagai negara telah ditawan oleh Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin yang lain ketika serangan maut ke atas Israel pada 7 Oktober.

Israel, kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta pembebasan segera tebusan dan mereka yang mempunyai insan tersayang yang ditawan mendesak Kerajaan Israel membebaskan mereka.

Lima tebusan telah dibebaskan setakat ini, kebanyakannya selepas rundingan melalui saluran diplomatik dengan bantuan dari negara-negara termasuk Qatar dan Mesir, dan satu selepas serbuan darat oleh tentera Israel di dalam Gaza.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button