Berita UtamaUtama

PH tak amal rasuah politik

Kerajaan tangguh janji sebab kewangan negara meruncing

BANGI, 18 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengamalkan rasuah politik dalam berkempen untuk menarik undi, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

“Kita memang tidak amalkan rasuah politik. Kita mahu tawarkan politik khidmat anak muda di PRK (Semenyih) kali ini. Kita tahu Selangor di bawah PH dan PH menerajui Putrajaya.

“Kalau ada kaitan dan hubungan erat (antara kerajaan negeri dan pusat) pastinya akan bawa kebaikan kepada pengundi di sini. Harap pengundi memikirkan perkara ini,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau berkata demikian mengulas janji kempen dalam PRK DUN Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac nanti.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, kerajaan tidak sama sekali melupakan setiap janji yang pernah dinyatakannya, namun komitmen untuk melunaskan janji berkenaan memerlukan pertimbangan serius.

Wan Azizah yang juga Presiden PH berkata, keadaan kewangan yang meruncing dihadapi Kerajaan Persekutuan ketika ini menjadi sebab pelaksanaan janji terpaksa ditangguhkan seketika dan memerlukan lebih masa.

“Kita nak janji, biar betul-betul. Dahulu dalam pembangkang, kita menawarkan janji. Tetapi, kita tidak tahu betapa runcingnya masalah sekarang.

“Sebab itu kalau kita berjanji, pembangkang tempelak kita balik bahawa kita tidak menunaikan janji. Bukan. Kita mahu sedaya upaya.

“Namun, apakan daya kita warisi daripada kerajaan yang 60 tahun dahulu berbanding kita lapan bulan,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close