Berita UtamaUtama

Nafikan jika PH mampu

Dr Mahathir makin jelas tak sedia serah jawatan kepada Anwar Ibrahim

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 18 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha keras menafikan keretakan yang semakin membesar dalam komponen mereka, sehingga menuduh PAS memfitnah atas pergolakan yang berlaku.

Sehubungan itu, Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mempersoal sama ada PH mampu menafikan atau tidak, tiga perkara yang menjadi pokok persoalan.

Antaranya, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini dilihat semakin jelas tidak bersedia menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun.

“Anwar juga dilihat tidak bersedia menerima hakikat bahawa Dr Mahathir tidak akan melepaskan jawatan kepada beliau. Malah, beliau sedia bangkit melawan bersama kumpulan yang menyokongnya ke atas Dr Mahathir.

“Jika mampu nafikan, ok. Jika tidak, maka keretakan adalah semakin jelas dan PAS benar pada dakwaannya,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Bachok itu juga berkata, Dr Mahathir kini semakin menunjukkan wajah sebenarnya, bahawa beliau bukanlah berwajah ‘Malaysia Baru’ sebagaimana kehendak DAP dan sekutunya.

Justeru, katanya, DAP sudah panas punggung dengan ‘karenah’ Dr Mahathir, sehingga Lim Kit Siang sudah murung bermuram durja.

“Semakin dibiar Tun ini, semakin terbakar hati. Masa untuk bermain Mahjong di langit kejora semakin menghampir. Strategi RBA sudah mati kutu,” katanya.

Pada masa sama Nik Abduh berkata, janji manifesto sudah menjadi beban besar dan semakin ke laut kerana pada masa ini, bukan lagi untuk membaiki, tetapi untuk saling salah menyalah.

“Tun kata sekelian mamanda menteri tak ‘perform‘. Datuk Bendahara kata Tun tak buat apa pun selain dok mengomen itu ini, dok asah PKR Datuk Seri Azmin Ali, tumpulkan PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pembinaan kem dan blok dalam PH semakin nyata. Bilang membilang kerusi di Parlimen sudah bermula. Ahli Parlimen UMNO semakin bernilai dan berharga.

“Jika mampu nafikan, ok. Jika tidak, janganlah nak nafikan. Baik bersedia dengan segala peralatan,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close