Berita UtamaUtama

MCA tak patut berpihak kepada China atas sentimen cauvinis

Mapim gesa Malaysia angkat isu berkaitan hak umat Islam di China

BANGI, 18 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Majlis Pertubuhan Perundingan Malaysia (Mapim) menolak dakwaan jahat MCA berhubung pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Rawa dengan wakil Kongres Dunia Uyghur pada 14 Januari lalu, adalah campur tangan Malaysia dalam urusan China.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pemikiran sempit dan berbaur politik adu domba MCA itu jelas menunjukkan parti berkenaan tidak peka dengan isu hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan China bukan sahaja telah meningkatkan penindasan ke atas etnik Uyghur, malah juga terhadap orang Islam.

Bahkan, kerajaan negara itu menganggap Islam sebagai penyakit mental. Kini, etnik Uyghur yang berada dalam kem tahanan – atau lebih tepat penjara – yang dilaporkan sudah mencecah sejuta orang.

Mengulas lanjut isu itu, Azmi berkata, prinsip keadilan dan melindungi yang ditindas perlu diutamakan, bukan sebaliknya mendahulukan kepentingan perdagangan.

Beliau menegaskan, umat Islam tidak mungkin boleh berdiam diri apabila maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber mengenai penindasan yang berlaku ke atas umat Islam berlaku di China.

“Apakah dengan mendengar pandangan dan fakta daripada pihak yang dizalimi yang diakui oleh banyak negara hatta agensi dan media antarabangsa seperti PBB, OIC, CNN dan Al-Jazeera, itu bermakna Malaysia campur tangan dalam urusan China?

“Sebagaimana isu rakyat terutama warga Muslim yang ditindas seperti di Myanmar, Palestin, Sri Lanka dan India telah dibahas di forum dunia mengenai genosid, penghapusan etnik dan jenayah perang ke atas manusia, kenapa MCA tiba-tiba mengungkit soal campur tangan Malaysia dalam urusan China?,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesal dengan dakwaan Ketua Biro Agama MCA Perak, Jimmy Loh, Azmi berkata, tidak masuk akal apabila lebih sejuta rakyat dipaksa berada dalam kem, kononnya untuk diajar latihan vokasional dan membasmi pemikiran pengganas.

Katanya, MCA tidak harus bersikap berpihak kepada pemerintah China atas sentimen cauvinis.

“Kami mengesa Malaysia harus jelas mengangkat isu-isu yang berkaitan hak umat Islam di China. Kami mengesyorkan Malaysia menjadi orang tengah agar perundingan damai antara pihak komuniti Muslim dan pemerintah dapat dicapai.

“Negara Islam perlu menunjukkan pendirian agar China tidak mengambil kesempatan berdagang dan melabur di negara Islam tetapi dalam masa yang sama menindas umat Islam di negara tersebut,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close