Berita UtamaUtama

Lagi patung berhala di surau

Kariah mahu CCTV segera dipasang, elak insiden berulang

BANGI, 18 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Belum reda isu sebuah patung berhala berkalung bunga diletakkan individu tidak bertanggungjawab di depan pintu masuk Surau Sabilul Huda, Pelabuhan Klang dua hari lalu, muncul pula insiden sama hari ini.

Dua patung berhala sebesar tapak tangan orang dewasa ditemukan kariah yang datang untuk menghadiri kuliah agama di surau berkenaan, kira-kira jam 2.45 petang tadi.

Objek berkenaan ditemukan Hasanah Ibrahim, 64, ketika beliau dan tiga lagi kariah ke surau itu, sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada ahli jawatankuasa (AJK) surau.

“Kami kemudian masuk ke dalam surau dan memberitahu ahli jawatankuasa (AJK) surau itu. Mereka turut terkejut dengan kehadiran patung berhala terbabit,” katanya seperti dilapor Berita Harian (BH), hari ini.

Sementara itu, siak surau terbabit, Mohd Yatim Omar, 64, berkata, pihaknya risau dengan penemuan kali kedua patung berhala berkenaan, sekali gus berharap supaya pihak berkuasa dapat menyelesaikan segera isu tersebut.

Beliau turut mengharapkan surau terbabit dipasang kamera litar tertutup (CCTV) dengan segera supaya kejadian sama tidak berulang.

Insiden terbaharu itu turut disahkan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sehingga mencetuskan pergaduhan, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyiasat secara terperinci pihak yang bertanggungjawab meletakkan patung berhala di surau itu.

Menyelar perlakuan tidak bertanggungjawab itu, Muhyiddin berkata, tindakan tegas berasaskan undang-undang perlu diambil terhadap pihak yang melakukan perbuatan terkutuk berbaur hasutan dan amat provokatif.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close