Berita UtamaUtama

Kurangkan penjawat awam: Ramai Melayu akan hilang kerja

Kerajaan seperti tak berhati perut, suka lihat bangsa Melayu ditindas

BANGI, 18 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membantah cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini, berikutan rata-ratanya adalah berbangsa Melayu dan Bumiputera.

Ketua Penerangan Perkasa, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, tindakan mengurangkan jumlah penjawat awam memberi makna lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera akan kehilangan kerja dan menganggur.

“Senario mendapatkan kerja hari ini di bidang swasta juga amat menekan apabila orang Melayu sendiri tidak berpeluang kerana syarat-syarat pengambilan yang tidak bersifat terbuka dan mendahului bangsa majoriti negara.

“Tindakan ini menunjukkan kerajaan seperti tidak berhati perut dan suka melihat bangsa Melayu ditindas di tanah airnya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan rasminya ke Kementerian Pertahanan dilaporkan berkata, saiz perkhidmatan awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikurangkan selaras dengan kedudukan negara ketika ini.

Katanya, ketika ini jumlah kakitangan awam ialah 1.7 juta orang menunjukkan peningkatan sehingga 700,000, berbanding ketika mula-mula beliau bersara sebagai Perdana Menteri pada 2003.

Beliau menyifatkan angka itu terlalu besar, sedangkan kebanyakan kerja dalam sektor berkenaan sudah banyak menggunakan teknologi maklumat dan kemudahan komputer.

Membidas kenyataan itu, Nasrul berkata, pembandingan dibuat Dr Mahathir adalah tidak wajar kerana hari ini sememangnya segala-gala sudah dikuasai teknologi, namun dari segi perkhidmatan, kerajaan masih lagi tidak mampu menangani masalah rakyat.

“Sebagai contoh pemantauan harga barang di kedai-kedai runcit tempatan yang harganya naik turun sesuka hati yang sehingga hari ini tak mampu diselesaikan kerana kurangnya penguatkuasa kerajaan untuk turun bagi membuat kajian berkala. Jadi, jika ia dikekalkan tidak akan menjadi masalah,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close